JAWAHAR Ali (kanan) dan Che Hassan (kiri) ditemui selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa PPMM. FOTO Aziah Azemi
JAWAHAR Ali (kanan) dan Che Hassan (kiri) ditemui selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa PPMM. FOTO Aziah Azemi
Yusmizal Dolah Aling


Putrajaya: Tiada keperluan melanjutkan waktu perniagaan restoran selama 24 jam sebaliknya kebenaran sedia ada sudah mencukupi malah bersesuaian dengan norma baharu.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman kerajaan mengenai lanjutan waktu operasi perniagaan sehingga jam 2 pagi yang diumumkan kelmarin.

Katanya, dengan perkembangan terbaru itu, ia adalah waktu maksimum bagi perniagaan dan bersesuaian dengan situasi Covid-19.

"Pada saya, tidak perlu lanjutan atau kebenaran sehingga 24 jam seperti sebelum ini. Sehingga 2 pagi pun cukup. Sekarang ini kalau kita lihat, banyak faedahnya terutama kepada sistem masyarakat.

"Bagi kami dalam industri restoran, ia sudah mencukupi kerana sebelum ini kita beroperasi sampai jam 8 malam, kemudian 10 malam, 12 malam dan sekarang 2 pagi. Ia mencukupi," katanya pada sidang media pada Majlis Minum Petang dan Mesyuarat Agung Luar Biasa Persatuan Pengguna Melayu Malaysia (PPMM), di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden PPMM Che Hassan Che Johan.

Beliau yang juga Penasihat PPMM berkata, pihaknya menjangkakan pertambahan masalah pengguna selepas tamat tempoh moratorium bulan depan.

"Kita jangkakan pertambahan mangsa ceti haram dan masalah lain kerana orang ramai sudah mula mempunyai komitmen seperti biasa.

"Sebab itu kita di PPMM ini mempunyai tanggungjawab untuk mendidik pengguna termasuk kesedaran kepenggunaan agar segala utusan berjalan dengan baik," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 4:45 PM