KAKITANGAN Pejabat Daerah Kuala Pilah serta Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) membuat tinjauan di lokasi sebaik menerima aduan. FOTO Amran Yahya
KAKITANGAN Pejabat Daerah Kuala Pilah serta Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) membuat tinjauan di lokasi sebaik menerima aduan. FOTO Amran Yahya
Amran Yahya

Kuala Pilah: Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) Daerah Kuala Pilah akan mengatasi masalah air yang dihadapi penduduk Kampung Ghalib, Sungai Jelutong sejak awal tahun ini.

Pegawai Daerah Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap ketika dihubungi berkata pihaknya bersama SAINS turun ke lokasi sebaik dimaklumkan bahawa air di kampung itu tercemar berikutan berlaku pembalakan di situ.

Menurutnya, kerja pembalakan dilakukan di Rizab Hutan Simpan Serting mempunyai permit pembalakan yang sah.

"Bagaimanapun, hasil siasatan pihak kami mendapati hanya lima buah keluarga sahaja yang menggunakan air bukit sepenuhnya dan bukannya 15 keluarga seperti yang didakwa penduduk.

"Selain itu, difahamkan kelima-lima keluarga ini tidak pernah memohon dari SAINS untuk kerja pemasangan paip air dan meter manakala baki 10 buah rumah lagi telah mempunyai kemudahan air paip namun mereka mengalami masalah tekanan air rendah.

"Masalah tekanan air rendah juga turut dialami oleh beberapa penduduk lain dan pihak SAINS sedang berusaha mengatasi masalah ini," katanya.

Tambah Mohd Faizal, SAINS sudah mengarahkan MPKK kawasan supaya mengumpulkan senarai nama pemohon untuk dimajukan kepada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk permohonan pam air dibawah program Bekalan Air Luar Bandar (BALB).

Terdahulu, penduduk Kampung Ghalib, Sungai Jelutong mendakwa aktiviti pembalakan di kawasan hutan berhampiran menyebabkan mereka mengalami pencemaran air

Penduduk, Tapa Sulit, 81, berkata, keadaan akan menjadi lebih buruk terutama ketika hujan kerana air akan berubah menjadi keruh serta dipenuhi selut dan lumpur.

"Sejak lapan tahun lalu terdapat 15 buah keluarga di kampung ini yang masih menggunakan air bukit untuk kegunaan seharian.

"Ini kerana di sini tiada kemudahan air paip memandangkan lokasi jauh di pendalaman serta kedudukan di kawasan berbukit.

"Bagaimanapun, sejak kerja pembalakan bermula awal tahun ini, takungan air yang kami bina di atas bukit dipenuhi selut dan lumpur akibat kerja pembalakan.

Sistem paip juga kami buat sendiri dan tiada mempunyai sistem penapisan dan ini menyebabkan kerap tersumbat sekiranya hujan," katanya ketika ditemui di lokasi.

Sementara itu, penternak ikan, Lokman Osman, 60, berkata, dia mengalami kerugian selepas 1,500 benih ikan tilapia merah yang dilepaskan di dalam kolamnya mati awal tahun ini.

"Saya menggunakan sumber air bukit tetapi setelah adanya kerja pembalakan, air kolam ikan menjadi keruh menyebabkan ikan mati.

"Ini kali pertama berlaku dan saya harap pihak berkenaan tolong menyiasat kes ini. Kami di sini tidak menghalang kerja pembalakan tetapi ia perlulah mengikut peraturan di samping mengutamakan kesejahteraan penduduk kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 September 2020 @ 3:44 PM