LAPORAN Harian Metro mengenai kes seorang broker saham, Tan Kian Ngip, yang menghadapi dua tuduhan membunuh pasangan warga emas, pada 24 Julai tahun lalu.
LAPORAN Harian Metro mengenai kes seorang broker saham, Tan Kian Ngip, yang menghadapi dua tuduhan membunuh pasangan warga emas, pada 24 Julai tahun lalu.
BERNAMA

Seremban: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 2 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula kes seorang broker saham, Tan Kian Ngip, yang menghadapi dua tuduhan membunuh pasangan warga emas, pada 24 Julai tahun lalu.

Prosiding itu didengar di dua Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah dan Hakim Azizul Azmi Adnan, menetapkan tarikh itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nuralis Mat dan Timbalan Pendakwa Raya Noor Aisyah Ahmad memohon kepada mahkamah satu tarikh baharu untuk serahan dokumen.

Pada 24 Julai tahun lalu, Tan, 41, didakwa membunuh dengan menyebabkan kematian Eng Chong Hwa, 67, dengan menikam menggunakan pisau dan dia turut didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian Tan Kim Joo, 73, dengan menikam menggunakan pisau.

Semua kesalahan itu dilakukan di rumah bernombor 597, Jalan Melati 21, Taman Desa Melati, Nilai antara 4 petang hingga 7.45 malam, 24 Julai 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili tiga peguam Abu Bakar Isa Ramat, Muhammad Syafiq Stewart Abdullah dan Nurshafiqa Balqish Jaffri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 September 2020 @ 6:06 PM