GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Norzamira Che Noh


Shah Alam: Sebanyak 1,292 kawasan di tujuh wilayah mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual ekoran empat Loji Rawatan Air (LRA) terpaksa dihenti tugas, pagi ini susulan pencemaran pada sumber air mentah di Sungai Selangor.

Tujuh wilayah berkenaan adalah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, pihaknya mengambil tindakan melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam alternatif HORAS 600 dengan kapasiti 150 juta liter sehari dan pelepasan empangan sebanyak 500 juta liter sehari bagi pencairan bahan pencemaran terdapat di Sungai Selangor.

"Sehingga 11.30 pagi, pencemaran masih dikesan di Sungai Selangor.

"Gangguan bekalan air tidak berjadual ini membabitkan 1,292 kawasan di Wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, Air Selangor akan menyediakan bantuan bekalan air dengan menggerakkan lori tangki ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

Katanya, pengguna yang memerlukan bantuan bekalan air untuk kecemasan seperti urusan kematian boleh menghubungi 15300 atau WhatsApp di talian 019-2816793 dan 019-2800919.

"Bantuan bekalan air boleh didapati melalui pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS)," katanya.

Terdahulu, LRA Rantau Panjang dihenti tugas pada 7.15 pagi, diikuti tiga lagi LRA iaitu LRA Fasa 1 (SSP1), Fasa 2 (SSP2) dan Fasa 3 (SSP3) pada 9 pagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 September 2020 @ 4:19 PM