Sembilan daripada 10 pekerja  Malaysia enggan kembali norma lama.
Sembilan daripada 10 pekerja Malaysia enggan kembali norma lama.
BERNAMA

SEMBILAN daripada 10 pekerja Malaysia tidak mahu kembali semula kepada situasi bekerja secara normal, demikian menurut dapatan kaji selidik oleh Skillsoft, penyedia global utama bagi penyelesaian pembelajaran digital, latihan dan tenaga kerja bagi membantu organisasi memanfaatkan kelebihan mereka.

Berdasarkan kaji selidik ke atas 758 pekerja atau mereka yang mahu bekerja di seluruh Malaysia, laporan Skillsoft itu menyelidik harapan kakitangan bagi tempat kerja pasca Covid-19 dan mendapati 94 peratus mahu sekurang-kurangnya satu amalan Covid-19 diterapkan secara tetap dalam kehidupan harian mereka.

Ia angka tertinggi dari tiga negara di Asia Pasifik yang dikaji iaitu Malaysia, Singapura dan Australia.

Meskipun hanya enam peratus daripada pekerja Malaysia gembira kembali kepada keadaan biasa, angka ini malahan lebih rendah dalam kalangan mereka yang berusia lebih 55 tahun (3.0 peratus).

Kaji selidik itu mendapati tenaga kerja Malaysia nampaknya lebih prihatin mengenai kesejahteraan mereka dengan 31 peratus pekerja menyenaraikan kesihatan dan keselamatan sebagai perkara nombor satu yang mahu ketua perniagaan mereka utamakan.

Ia juga menunjukkan hampir separuh daripada semua pekerja Malaysia menyenaraikan keseimbangan kerja/kehidupan (54 peratus) dan jaminan pekerjaan (47 peratus) dalam tiga perkara utama yang perlu diberi keutamaan oleh ketua perniagaan dan hanya 14 peratus menyenaraikan inovasi antara tiga perkara utama mereka.

"Tempoh Covid-19 mencetuskan trend melangkaui di luar gaya tempat kerja fleksibel, ke arah jagaan diri sebenar-benarnya. Syarikat perlu menjadikan kesejahteraan dan kesihatan kakitangan sebagai fokus tetap, bukan sekadar sesuatu perlu ditangani semasa krisis," kata Naib Presiden Skillsoft APAC, Rosie Cairnes.

Laporan itu menunjukkan dua perkara utama yang tenaga kerja Malaysia mahu majikan mereka menyokongnya adalah menyediakan lebih banyak pembelajaran dan pembangunan mengenai kepelbagaian kaum (38 peratus) dan menyokong cuti bersalin bagi ibu dan bapa (34 peratus).

"Dasar yang rakyat Malaysia mahu organisasi mereka perkenalkan adalah menawarkan kerja fleksibel bagi ibu bapa kedua-dua jantina (33 peratus) dan memantau, melapor serta berusaha merapatkan jurang jantina (31 peratus)," kata organisasi itu.

Kaji selidik itu dijalankan YouGov dari 30 Julai hingga 3 Ogos 2020 dalam kalangan 681 warga Australia, 758 warga Malaysia dan 886 warga Singapura berusia 18 tahun ke atas yang ketika ini bekerja atau sedang mencari kerja.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 September 2020 @ 6:00 AM