PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO AIZUDDIN SAAD
PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. FOTO AIZUDDIN SAAD
Saipul Adli Mohamad dan Suraya Roslan


PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penularan Covid-19 di peringkat global masih belum menunjukkan tanda akan berakhir dalam waktu terdekat.

Beliau berkata, sehingga kini, 22 juta kes positif Covid-19 dilaporkan dengan lebih 780,000 kematian.

Menurutnya, negara jiran kita masih berusaha keras untuk menangani penularan Covid-19.

"Bagi mengatasi krisis ini, pelbagai pihak sedang berusaha untuk menghasilkan vaksin Covid-19.

"Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menjangkakan penularan Covid-19 berlanjutan untuk satu tempoh masa agak lebih lama.

"Justeru, menjadi keutamaan kerajaan pada masa ini untuk mengenalpasti kluster yang mungkin wujud di negara kita dan mengambil tindakan segera untuk menghalang jangkitan dalam komuniti," katanya menerusi peruntukan khas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata, negara kita masih berhadapan dengan risiko penularan Covid-19 seperti berlaku menerusi Kluster Sivagangga, Tawar dan Sala di Kedah, Sanglang di Perlis dan kluster di negeri Sarawak, baru-baru ini.

Menurutnya, risiko itu perlu ditangani segera dan dikawal dengan tindakan tegas dan tangkas sebelum ia merebak dengan lebih meluas.

"Ini termasuk tindakan kerajaan untuk memperketatkan kawalan sempadan negara. Kerajaan mewajibkan warganegara yang pulang dari luar negara dan warga asing yang memasuki negara ini untuk menjalani perintah kuarantin selama 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan kerajaan.

"Saya sedar berdasarkan perkembangan di peringkat global kita akan melalui satu tempoh agak lebih lama sebelum negara kita dapat bebas sepenuhnya daripada ancaman wabak Covid-19.

"Buat masa ini keadaan adalah terkawal. Namun, sekiranya berlaku peningkatan kes jangkitan di lokaliti tertentu, kerajaan akan melaksanakan pendekatan secara bersasar seperti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan atau Perintah Kawalan Pergerakan Bersasar seperti dilaksanakan di beberapa kawasan sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Ogos 2020 @ 8:50 PM