ANTARA kucing belaan Asrol Adizar. FOTO FB Asrol Adizar.
ANTARA kucing belaan Asrol Adizar. FOTO FB Asrol Adizar.
Murnaena Muhammad Nasir


SERING menerima kecaman dan fitnah tidak menjadi penghalang kepada pencinta haiwan ini untuk terus memberi sinar baru kepada kucing dan anjing jalanan.

Bermula dengan minat memberi makan kepada kucing jalanan, ia seterusnya mendorong Asrol Adizar, 34, menjadi penyelamat kucing sepenuh masa sejak 10 tahun lalu.

Menurut Asrol, dia pernah dituduh memaparkan kisah kucing yang diselamatkannya di Facebook (Fb) untuk mengaut keuntungan semata-mata.

"Saya sering memuat naik gambar haiwan jalanan terutama anjing dan kucing yang memerlukan bantuan di FB.

"Tujuan sebenarnya supaya orang lain dapat sama-sama membantu membela nasib mereka.

"Namun, ada segelintir pihak kurang senang dan beranggapan saya lakukannya untuk mendapatkan sumbangan percuma daripada masyarakat," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Reko, Kajang.

Dia yang telah menyelamatkan ratusan kucing jalanan mengakui tidak pernah berniat berhenti dalam bidang itu walaupun pelbagai rintangan dilaluinya.

"Tidak pernah terlintas di fikiran saya untuk berhenti dan selagi badan sihat, saya akan teruskan.

"Melihat kucing dan anjing yang saya selamatkan sihat semula menjadi satu kepuasan diri dan kerana itu saya tidak akan berhenti," katanya.

Asrol berkata, setakat ini dia memelihara 40 kucing dan 10 anjing di rumahnya dan tidak berniat untuk menambah bilangan itu disebabkan kurang berkemampuan.

Katanya, buat masa sekarang, dia menumpukan penjagaan kucing dan anjing yang ada di rumah itu terutama daripada segi kesihatan.

"Dalam sebulan, saya habiskan antara RM2,000 hingga RM2,500 menggunakan duit gaji sendiri sebagai pengurus pusat jagaan kucing di Jalan Klang Lama, Kuala Lumpur.

"Bagi menambah pendapatan, saya menyediakan perkhidmatan penjagaan kucing (Cat Boarding) yang berharga dari RM10 hingga RM15 sehari," katanya.

Asrol berkata, kebanyakan kucing itu diselamatkannya daripada Pusat Kurungan Haiwan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Anak kelahiran Melaka itu berkata, dia tidak menyangka bertemu dengan tunangnya ketika dalam perjalanan menyelamatkan kucing yang dilanggar kereta empat tahun lalu.

"Pada mulanya saya sukarela menjaga kucing itu, namun dapat panggilan sudah ada individu ingin menjaganya iaitu tunang saya sendiri.

"Akibat kemalangan, kucing itu buta dan kami merawatnya bersama-sama. Dari situ kami berkenalan dan berhubungan sehingga sekarang," katanya.

Selain itu, Asrol pernah menyelamatkan kucing yang terkena renjatan elektrik sehingga kudung sebelah kaki.

"Memori paling saya ingat sehingga sekarang ketika menyelamatkan Jayden (kucing cacat kaki sejak lahir) yang dibuang penunggang motosikal di tengah jalan tahun lalu.

"Syukur dapat selamatkan Jayden waktu itu kerana dia antara peneman setia saya dan sangat popular dalam kalangan pengikut saya di FB," katanya.

Sebelum ini, Harian Metro menyiarkan detik cemas dialami Asrol apabila berlaku kejadian banjir ketika dia tiada di rumah sehingga meragut nyawa lima ekor kucing peliharaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 8:58 PM