ANTARA individu yang ditahan kerana disyaki mengambil dadah. FOTO Asyraf Hamzah.
ANTARA individu yang ditahan kerana disyaki mengambil dadah. FOTO Asyraf Hamzah.
Nurul Hidayah Bahaudin


KEGIATAN sekumpulan lelaki menjadikan rumah sewa mereka sebagai 'port' menghisap dadah terbongkar dalam serbuan dilakukan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Pandan Indah, Ampang, semalam.

Dalam serbuan kira-kira 11 malam itu, seramai 13 individu termasuk seorang wanita yang berada di dalam rumah berkenaan diperiksa.

Seorang daripada penyewa rumah berkenaan berusia 20-an memaklumkan seramai tujuh individu termasuk dirinya menyewa rumah berkenaan dengan bayaran RM750 sebulan.

Dia yang juga seorang pelukis pelan berkata, mereka kerap menjemput rakan senegeri untuk ke rumah itu untuk bersama-sama menghisap dadah jenis syabu selain minum air ketum.

"Selalunya kami berkumpul tiga kali seminggu. Mereka yang datang ke rumah ini akan membawa dadah dan air ketum masing-masing.

"Mereka yang datang ke rumah ini adalah rakan kepada rakan serumah lain dari negeri sama dan kami tidak menjemput orang luar masuk," katanya yang berasal dari Pantai Timur.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Selangor Mohd Firdaus Abu Bakar berkata, seramai 20 individu diperiksa dalam serbuan di tiga lokasi berasingan oleh sepasukan anggota penguat kuasa AADK Ampang dalam operasi bermula 10 malam.

"Daripada 20 individu yang diperiksa, kami menahan 12 lelaki dan seorang wanita berusia antara 23 hingga 57 tahun yang didapati positif pelbagai jenis dadah.

"Dalam serbuan di sebuah rumah di Pandan Indah, kami turut menemui beberapa bungkusan air ketum serta alat menghisap syabu," katanya.

Katanya, semua yang ditahan dibawa ke pejabat AADK Ampang untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2020 @ 6:23 PM