Ariffin (tiga dari kanan) menyampaikan sijil tamat kursus Kampung Budaya Terengganu kepada peserta di Kuala Nerus hari ini. FOTO Malik Muhamad
Ariffin (tiga dari kanan) menyampaikan sijil tamat kursus Kampung Budaya Terengganu kepada peserta di Kuala Nerus hari ini. FOTO Malik Muhamad
Malik Muhamad


LEBIH 10,000 pengunjung dalam dan luar negeri dijangka 'berkampung' di Festival Kebudayaan Terengganu pada 27 Ogos hingga 6 September ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, penganjuran festival selama 11 hari itu bakal menjadi medan terbaik untuk memperkenalkan dan mengetengahkan kebudayaan, kesenian serta warisan tradisional Terengganu kepada dunia.

Beliau berkata, program itu antara aktiviti untuk menjadikan Terengganu sebagai negeri pelancongan utama dalam negara selain beberapa lagi aktiviti lain termasuk Kampung Budaya Terengganu yang bakal dirasmikan pada 3 September depan.

Katanya, program itu mampu mendedahkan generasi muda untuk mengenali dan menilai khazanah kesenian serta kebudayaan tradisional negeri agar tidak ditelan zaman moden ini.

"Festival Kebudayaan ini dapat membawa kembali kegemilangan, kebudayaan dan warisan seperti seni bina, masakan, tarian tradisional dan sebagainya.

"Ciri-ciri ini sudah lama hilang ditelan zaman, jadi dengan adanya festival ini, ia akan mengembalikan semula warisan Terengganu yang kian dilupakan generasi kini.

"Bagi merancakkan lagi sektor pelancongan, pada September depan satu lagi program iaitu Kampung Budaya Terengganu bakal dirasmikan Menteri Besar Terengganu," katanya selepas merasmikan majlis penutup kursus peserta Kampung Budaya Terengganu di Kuala Nerus, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ab Rasid Jusoh.

Ariffin berkata, festival itu akan diadakan di enam lokasi terpilih di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus iaitu di Duyong Marina & Resort, Hotel Permai, Hotel Primula Warisan Sari, Paya Bunga Square & Hotel dan di Terradala.

"Antara program kebudayaan sepanjang festival itu ialah nelayan berkolek di Hotel Primula, cerita Duyong di Duyong Marina & Resort, pertunjukan wau sobek di Hotel Permai, pertunjukan gamelan di Warisan Sari, gasing terbang di Paya Bunga Square & Hotel serta Langkasuka di Terradala.

"Menerusi pemilihan lokasi yang jaraknya berdekatan, kita yakin festival ini akan menjadi tarikan utama pelancong untuk mengenali Terengganu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Ogos 2020 @ 8:22 PM