MAYAT Franky Setiawan ditemui petang tadi. FOTO ihsan bomba
MAYAT Franky Setiawan ditemui petang tadi. FOTO ihsan bomba
Mohd Roji Kawi


REMAJA lelaki yang dilaporkan hilang selepas perahu dinaikinya bersama empat lagi pekerja binaan karam akibat terlanggar batu di Sungai Long Mewah, Marudi, kelmarin, ditemui lemas hari ini.

Mayat Franky Setiawan Jena, 14, ditemui terapung di tebing sungai pada 4.30 petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Menurutnya, hari kedua operasi pencarian hari ini turut disertai helikopter Unit Udara JPBM yang membuat tinjauan udara bermula tengah hari tadi.

"Pencarian hari ini tertumpu dalam radius empat kilometer ke hulu Kampung Long Aton iaitu ke arah lokasi perahu karam dan sebelah hilir sehingga ke Kampung Long Sobeng.

"Mayat pertama ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di kawasan yang terletak kira-kira 15 minit perjalanan menaiki perahu di hilir lokasi perahu mangsa karam," katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sabtu lalu, dua pekerja binaan termasuk remaja lelaki hilang selepas perahu yang mereka naiki karam akibat terlanggar batu di Sungai Long Mewah.

Ketika kejadian 9.30 malam itu, tiga pekerja yang berusia 34 hingga 56 tahun berjaya menyelamatkan diri, manakala dua mangsa hilang dibawa arus deras.

Lima pekerja terbabit yang membuat kerja membaik pulih Sekolah Kebangsaan (SK) Long Aton pergi memancing dan menjala ikan di lokasi berdekatan sekolah berkenaan pada 2.30 petang.

Ketika dalam perjalanan balik selepas memancing, perahu yang mereka naiki terlanggar batu lalu pecah dan karam.

Berikutan penemuan mayat Franky Setiawan, petang tadi, operasi SAR diteruskan esok untuk mengesan seorang lagi mangsa, Eduin Jala, 47.

Berita berkaitan

Dua hilang, perahu pecah terlanggar batu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Ogos 2020 @ 10:12 PM