ANAK panah menunjukkan lokasi perahu karam di Kapit, hari ini. FOTO ihsan JBPM
ANAK panah menunjukkan lokasi perahu karam di Kapit, hari ini. FOTO ihsan JBPM
Mohd Roji Kawi


Kuching: Kanak-kanak lelaki hilang selepas perahu yang dinaiki bersama keluarga karam selepas berlanggar dengan tongkang akibat dihanyut arus deras di Sungai Rajang di seberang Pekan Kapit, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi, mangsa dikenali sebagai Jenggut Antas, 10.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila enjin perahu dinaiki empat sekeluarga itu menghadapi masalah.

Menurutnya, bapa mangsa dalam laporannya memaklumkan enjin perahu mereka tiba-tiba terhenti dan gagal dihidupkan semula ketika dalam perjalanan untuk menyeberang sungai ke Pkan Kapit.

"Perahu yang mereka naiki hanyut dalam arus deras lalu terlanggar tongkang yang sedang berlabuh di tebing sungai menyebabkan perahu yang dinaiki keluarga terbabit karam.

"Bapa mangsa bersama isteri dan seorang lagi anak mereka berjaya menyelamatkan diri, manakala Jenggut didapati hilang," katanya dalam kenyataan, di sini.

Katanya, berikutan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) diaktifkan membabitkan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit serta anggota polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Ogos 2022 @ 1:26 PM