TENGKU Imran (tengah) pada sidang media mengenai keluhan peniaga kecil dan penaja. FOTO Yusmizal Dolah Aling
TENGKU Imran (tengah) pada sidang media mengenai keluhan peniaga kecil dan penaja. FOTO Yusmizal Dolah Aling
Yusmizal Dolah Aling


PIHAK Berkuasa Tempatan (PBT) perlu membuka ruang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi perantara kepada permasalahan yang berlaku kepada peniaga kecil dan penjaja di negara ini.

Presiden Pertubuhan Usahawan Islamiah Malaysia (Usamiah) Tengku Imran Tengku Zainal Abidin berkata, ia bagi memastikan segala mesej dan isu yang dibangkitkan dapat disampaikan secara tepat dan menyeluruh.

Katanya, isu seperti permohonan lesen dan penempatan dapat diselesaikan dengan lebih berkesan.

"Kita mahu PBT mendengar suara peniaga kecil dan penjaja. Kita sebagai NGO boleh menjadi jambatan penghubung antara mereka dengan kerajaan.

"Dengan cara itu, kita dapat pastikan ia dapat diselesaikan dan perlu ada situasi menang-menang.

"Sebelum ini ada kekangan dari segi maklumat tak sampai, tidak selari dengan pihak berwajib dan masing-masing ada jalan sendiri.

"Kita harap dengan adanya peluang ini, tiada lagi isu penjaja dan peniaga kecil dianaktirikan atau tidak mendapat hak yang sepatutnya," katanya pada sidang media hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Politik Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nor Hizwan Ahmad dan Penasihat Usamiah, Datuk Tunku Azwil Tunku Abdul Razak.

Tengku Imran berkata, satu memorandum akan dihantar kepada menteri dalam masa terdekat bagi membolehkan tindakan segera diambil bagi mengatasi jurang yang wujud selama ini.

Katanya, ia adalah isu penting kepada 5,000 ahli Usamiah seluruh negara untuk memastikan mereka dapat menjalankan perniagaan dengan mudah dan selesa.

Sementara itu, Nor Hizwan berkata, beliau akan membawa perkara itu kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin supaya tindakan segera dapat diambil.

"Kementerian sedar mengenai isu ini. Kita ada 149 PBT di seluruh negara dan sudah tentu ada pelbagai masalah mengenai penjaja dan peniaga kecil

"Insya-Allah kita akan selesaikan kerana setiap PBT ada pra syarat berbeza," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Ogos 2020 @ 10:49 PM