GAMBAR hiasan. FOTO AMRAN HAMID.
GAMBAR hiasan. FOTO AMRAN HAMID.
Saipul Adli Mohamad; Yusmizal Dolah Aling dan Ekhwan Haque Fazlul Haque


LEBIH baik pakai pelindung muka daripada tidak pakai langsung. Itu nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah kepada rakyat Malaysia bagi membendung penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, walaupun belum ada bukti pelindung muka boleh menghindari jangkitan, tetapi ia lebih baik daripada tidak memakainya.

Katanya, pelitup muka memang terbukti dapat membendung jangkitan wabak itu berbanding pelindung muka.

"Kita ada beberapa jenis iaitu untuk perubatan dan bukan perubatan. Untuk perubatan kita ada N95 untuk digunakan di wad dan Unit Rawatan Rapi (ICU).

"Barisan hadapan atau pun staf digalakkan menggunakan pelitup muka tiga lapisan. Untuk bukan perubatan kita galakkan gunakan tiga lapisan fabrik," katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, pelindung muka boleh digunakan untuk menutup muka dan ia sekurang-kurangnya memberi perlindungan kepada mereka yang menggunakannya.

Beliau berkata, pemakaian pelitup muka pula terbukti dapat memutuskan rantaian Covid-19 iaitu 60 hingga 65 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 6:19 PM