MUSA ketika mengadakan sidang media khas di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu, semalam. FOTO Malai Rosmah Tuah
MUSA ketika mengadakan sidang media khas di kediamannya di Luyang, Kota Kinabalu, semalam. FOTO Malai Rosmah Tuah
Rafiqah Dahali


PARTI Warisan Sabah (Warisan) menempelak kenyataan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang menyatakan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti suatu pembaziran dan tidak selamat.

Bendahari Agung Warisan, Terrence Siambun berkata, pilihan raya boleh diadakan dengan mengikuti prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) sebelum ini mengesahkan tiada masalah mengadakan pilihan raya kerana SOP yang ketat dilaksanakan untuk memastikan proses pengundian berjalan lancar.

"Shafie berkali-kali merayu untuk berhenti berpolitik ketika ini dan meminta untuk bersatu dan membantu rakyat Sabah yang memerlukan bantuan, termasuk rayuannya ketika berucap dalam Parlimen beberapa hari lalu.

"Tapi adakah Musa mendengar apa yang dikatakan Shafie? Tidak kerana keutamaannya adalah untuk menjadi Ketua Menteri dan menjatuhkan kerajaan negeri ketika Shafie bergelut dengan bermacam-macam isu," katanya dalam kenyataannya hari ini.

Terrence berkata, Shafie tiada pilihan lain melainkan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan membiarkan rakyat Sabah menentukan siapa yang memegang mandat rakyat negeri ini.

"Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang ini menjadi peluang terbaik untuk rakyat Sabah memutuskan dan menilai," katanya.

Semalam, media melaporkan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman, menerusi peguamnya sudah menyerahkan 33 Akuan Bersumpah (SD) dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Susulan sokongan yang diperolehnya, beliau dipetik sebagai berkata, tiada sebab kukuh untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dibubarkan untuk memberi laluan kepada pilihan raya negeri.

Katanya, tindakan pembubaran DUN atau pilihan raya hanyalah membuang masa, wang ketika pandemik Covid-19 masih melanda, yang berpotensi membahayakan rakyat.

Lagi berita berkaitan PRN Sabah

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2020 @ 4:16 PM