Datuk Seri Gopal Sri Ram. Foto NSTP
Datuk Seri Gopal Sri Ram. Foto NSTP
BERNAMA

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur hari ini menetapkan 28 Ogos ini untuk membuat keputusan berhubung permohonan semakan kehakiman difailkan oleh bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah bagi menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram sebagai Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Kanan dalam kes masing-masing.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujahan daripada Muhammad Shafee dan Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan yang mewakili Pejabat Peguam Negara/Pendakwa Raya, kerajaan Malaysia.

Terdahulu dalam hujahannya, Muhammad Shafee mempersoalkan kedudukan Sri Ram kerana beliau dilantik sebagai TPR Kanan oleh Peguam Negara (AG) ketika itu Tan Sri Tommy Thomas yang juga lantikan politik Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri pada masa berkenaan.

"Thomas meletak jawatan selepas pertukaran kerajaan. Jika AG sendiri adalah lantikan politik, bagaimana pula dengan Sri Ram yang salah lakunya didedahkan dalam afidavit bekas AG Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

"Sri Ram tidak boleh menjadi pendakwa yang saksama, justeru beliau tidak layak sebagai orang yang sesuai," katanya dalam usaha Najib untuk menggugurkan Sri Ram daripada kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapi bekas perdana menteri itu.

Muhammad Shafee menambah Sri Ram seharusnya memaklumkan isu itu (berbalas mesej menerusi WhatsApp dengan Mohamed Apandi) kepada Thomas sebelum pelantikannya.

"Sri Ram juga sepatutnya memberitahu Thomas berhubung perbualan yang mana beliau menasihati Mohamed Apandi menangkap dan mendakwa Najib kerana rakyat marah. Jika Thomas tahu mengenai perkara itu, maka pelantikan berkenaan adalah pelantikan tidak sah," katanya.

Shamsul yang membantah perkara itu berkata perbualan menerusi WhatsApp di antara Sri Ram dan Mohamed Apandi seperti yang didedahkan dalam afidavit tambahan berlaku sebelum Thomas dilantik sebagai AG dan pelantikan Sri Ram sebagai TPR kanan.

"Thomas tidak terbabit dalam mana-mana perbualan dalam WhatsApp berkenaan atau dalam afidavit (Mohamed) Apandi Ali. Perkara itu juga tidak ada dalam rayuan pemohon bahawa Thomas tahu mengenai kandungan mesej WhatsApp semasa membuat keputusan untuk melantik Sri Ram sebagai TPR Kanan.

"Dalam keadaan ini, seseorang tertanya-tanya bagaimana pertukaran mesej WhatsApp seperti ini boleh mempengaruhi isu yang mempunyai kaitan dengan peruntukan Seksyen 376 (3), 377 dan 379 Kanun Prosedur Jenayah yang membolehkan pelantikan TPR ad hoc.

"Oleh itu, kami memohon agar kedua-dua permohonan itu ditolak dengan kos," kata Shamsul.

Dalam permohonan yang difailkan pada Disember 2018, selain bertindak selaku peguam Najib, Muhammad Shafee sendiri turut memohon semakan kehakiman bagi menggugurkan Sri Ram daripada kes pengubahan wang berjumlah RM9.5 juta yang dihadapinya dan belum lagi bermula.

Kedua-dua mereka yang memohon perintah menarik balik pelantikan Sri Ram atau menggugurkan beliau berkata, surat pelantikan Sri Ram adalah tidak sah dan memohon satu perisytiharan bahawa terdapat konflik kepentingan dalam pelantikan Sri Ram selain perintah melarang beliau daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam kesemua kes membabitkan mereka termasuk berkaitan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Julai 2020 @ 7:26 PM