MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
MUHAMMAD SHAFEE ABDULLAH
BERNAMA

Putrajaya: Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk memasukkan afidavit bekas Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dalam usaha beliau menggugurkan Datuk Seri Gopal Sri Ram daripada mengetuai pendakwaan dalam kes pengubahan wang haram sebanyak RM9.5 juta yang dihadapinya.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, sebulat suara menolak permohonan di bawah Seksyen 61 Akta Mahkamah Kehakiman berkaitan keterangan tambahan semasa rayuan itu.

Abdul Karim yang bersidang bersama Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali, bagaimanapun membenarkan permohonan Muhammad Shafee untuk mengemukakan keterangan lain dalam rayuannya.

Keterangan itu ialah surat pelantikan Sri Ram sebagai pendakwa raya ad-hoc dan afidavit bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Datuk Seri Azam Baki serta Sri Ram daripada prosiding lain (permohonan semakan kehakiman).

Perkara itu disahkan peguam Harvinderjit Singh, yang mewakili Muhammad Shafee, dan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Mustafa P. Kunyalam yang hadir bagi pihak pendakwaan.

Pada September tahun lalu, Muhammad Shafee memfailkan permohonan memasukkan keterangan tambahan sebagai sokongan kepada rayuannya dalam usaha menggugurkan Sri Ram.

Muhammad Shafee merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 22 April 2019 yang menolak permohonannya untuk menggugurkan Sri Ram daripada kes pengubahan wang haram yang dihadapinya. Perbicaraan kes itu belum bermula.

Pada 14 Jun 2020, dilaporkan bahawa Mohamed Apandi telah memfailkan afidavit berhubung dakwaan bahawa Sri Ram cuba memujuknya ketika beliau menjadi peguam negara untuk menahan Datuk Seri Najib Tun Razak pada awal 2018.

Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 13 September 2018 atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram menerusi cek yang dikeluarkan bekas Perdana Menteri itu, yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad beliau.

Beliau didakwa menerima sekeping cek bernilai RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan sekeping lagi bernilai RM5.2 juta pada 17 Februari 2014 di CIMB Bank Bhd Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.

Muhammad Shafee turut berdepan dua pertuduhan membuat penyata yang tidak betul di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014 di Lembaga Hasil Dalam Negeri Cawangan Duta di Kompleks Pejabat Kerajaan Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mac 2021 @ 8:49 PM