TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
TAN Sri Muhyiddin Yassin. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Suraya Roslan


DANA 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah RM19 bilion (AS$4.5 bilion) termasuk yang dipulangkan oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sebelum ini.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, pihaknya menyambut baik pengumuman mengenai penyelesaian bernilai RM16.6 bilion (AS$3.9 bilion) yang dicapai antara kerajaan Malaysia dengan syarikat Goldman Sachs (GS) bagi tuntutan berhubung salah laku dan penyelewengan dalam kes 1MDB.

"Dengan penyelesaian ini, dana 1MDB yang akan dikembalikan kepada Malaysia secara keseluruhannya berjumlah RM19 bilion (AS$4.5 bilion).

"Kerajaan komited meneruskan usaha mendapatkan semula aset lain berkaitan 1MDB dan meneruskan tuntutan terhadap individu dan pihak yang berkaitan dengan skandal penyelewengan 1MDB.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional dan pasukan perunding atas usaha mereka mencapai penyelesaian ini," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, usaha itu adalah satu kejayaan dalam mengembalikan hak dan harta rakyat Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 7:37 PM