Raja Noraina Raja Rahim


LELAKI yang dipercayai merogol dan melacurkan anak perempuannya berusia 13 tahun akan direman mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Fadzil Ahmat berkata, selain itu tujuh lagi suspek iaitu pelanggan turut direman mengikut akta sama.

Menurutnya, suspek utama dan tujuh lelaki warga asing itu ditahan secara berperingkat selepas menerima laporan kejadian.

"Mereka akan dibawa ke Mahkamah Kajang untuk permohonan reman esok.

"Kertas siasatan kes itu dibincangkan bersama Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan untuk tindakan diambil mengikut ATIPSOM selain Kanun Keseksaan dan ia dipersetujui," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian menghubungi Pegawai Penyiasat Asisten Superintendan S Vekram di talian 019-4737108 dan 03-89114222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan remaja perempuan itu dirogol sejak berusia 10 tahun dan dilacurkan bapa kandungnya pada pertengahan 2019 hingga Februari lalu sebelum ibu saudara mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian pada 12 Julai lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 37B/372 Kanun Keseksaan dan Seksyen 43(1) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Julai 2020 @ 4:27 PM