Samadi Ahmad


TAKTIK menyewa teksi bagi melakukan jenayah samun bersenjata di tapak pembinaan sekitar Lembah Klang memakan diri Geng Edy Longor apabila sembilan ahli kumpulannya ditahan polis dalam serbuan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, serbuan dan risikan dilakukan selama tiga hari bermula 5 hingga 7 Julai lalu berjaya menahan tiga lelaki tempatan dan enam warga asing berusia 19 hingga 53 tahun.

Menurutnya, siasatan mendapati salah seorang suspek warga asing berusia lingkungan 30-an yang ditahan dipercayai menjadi dalang geng berkenaan dan aktif melakukan jenayah sejak pertengahan tahun lalu.

Katanya, semua suspek ditahan di kawasan berasingan di Lembah Klang dan ada di kalangan mereka disyaki berperanan sebagai pembeli dan pengangkut kepada kumpulan berkenaan.

"Dalam serbuan itu, polis merampas pelbagai barang seperti telefon bimbit, kabel elektrik, peralatan pembinaan, dua teksi serta sebuah lori," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang, hari ini.

Mengikut rekod, sebanyak lima kes dikenal pasti membabitkan geng berkenaan yang dilakukan di daerah Sepang dengan jumlah kerugian kira-kira RM90,000.

Selain itu, kumpulan ini juga mempunyai rekod di daerah lain iaitu di Kajang sebanyak dua kes, Kuala Lumpur (4), Petaling Jaya (1) dan Subang Jaya (1).

Wan Kamarul berkata, modus operandi geng itu adalah menyewa teksi untuk melakukan jenayah samun berkumpulan bersenjatakan parang dan besi.

Menurutnya, suspek akan masuk ke kawasan pembinaan yang disasarkan sebelum bertindak mengikat pengawal keselamatan dan mengambil barang berharga seperti kabel serta peralatan elektrik.

Katanya, barangan hasil samun itu kemudian dijual kepada pihak ketiga.

"Siasatan masih dijalankan dan polis kini giat memburu empat lagi individu dipercayai terbabit dengan kumpulan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Julai 2020 @ 5:28 PM