DATUK Seri Hamzah Zainudin (kiri) ketika Sidang Media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
DATUK Seri Hamzah Zainudin (kiri) ketika Sidang Media. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Rafidah Mat Ruzki


TINDAKAN lebih keras bakal diambil apabila warga asing yang memiliki MyKad palsu bakal berdepan tindakan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) tidak lama lagi.

Ini berikutan kerajaan akan memastikan Akta Imigresen turut dimasukkan di dalam jadual SOSMA.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata, tindakan itu boleh dilakukan dengan menggunakan Jadual Pertama dalam SOSMA yang memberi kuasa kepada menteri.

Katanya, apabila Akta Imigresen itu dimasukkan di dalam SOSMA kelak, tindakan mengikut peruntukan undang-undang itu boleh dikenakan terhadap mana-mana migran yang memiliki dokumen pengenalan diri Malaysia yang palsu.

Ketika ini, mana-mana warga asing yang ditangkap memiliki MyKad hanya dikenakan tindakan pengusiran.

"Mana-mana pihak yang didapati bekerjasama mengeluarkan kad pengenalan palsu akan dikenakan tindakan mengikut SOSMA.

"Kepada migran, kita selalunya ambil bawah Akta Imigresen tetapi saya sebagai menteri ingin melihat Akta Imigresen dimasukkan bawah jadual SOSMA supaya migran yang ditangkap, yang membeli kad pengenalan palsu, dikena tindakan bawah SOSMA.

"Ini akan dipertingkatkan bukan saja kepada rakyat Malaysia tetapi juga kepada migran yang bekerjasama dengan mereka," katanya pada sidang media selepas lawatan kerja ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini, tadi.

Hamzah berkata, sejak awal tahun sehingga 17 Julai lalu, sebanyak 37 operasi sudah dijalankan JPN dengan 35 warga asing ditahan kerana menggunakan MyKad palsu.

Sementara itu, Hamzah berkata kementeriannya kini sedang berbincang dengan beberapa syarikat berkaitan usaha membangunkan kad pengenalan (ID) digital dalam mengurangkan isu pemalsuan MyKad.

"Banyak teknologi yang ada di dunia ini dan kita ingin pastikan sistem yang kita gunakan bukan hanya terbaik, tetapi boleh hubungkan dengan apa yang kita ada sekarang.

"Dari segi kegunaan, kita ada kad pengenalan secara fizikal (MyKad) dan juga secara digital," katanya.

Mengikut SOSMA, individu ditahan boleh disiasat tidak lebih dari tempoh 28 hari bagi membantu penyiasatan. Akta ini diluluskan di Parlimen pada 17 April 2012, diberikan Perkenan Diraja pada 18 Jun 2012 dan diwartakan pada 22 Jun 2012. Akta ini boleh membawa kepada hukuman mati mandatori ke atas sesiapa yang didapati bersalah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Julai 2020 @ 3:52 PM