Zatul Iffah Zolkiply


ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) mensasarkan 3,000 peruncit koperasi dan tiga juta pengguna menggunakan platform perniagaan JiMATbiz dan JiMATshop pada 2021.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, kedua-dua paltform itu adalah kesinambungan kepada Program Pembekalan Barangan Asas 100 (BA100) yang diperkenalkan Mei tahun lalu dalam usaha membantu golongan B40.

Katanya, kedua-dua platform perniagaan digital atau e-dagang itu mampu dimanfaatkan peruncit dan pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan harian pada harga berpatutan, lebih kompetitif dan seimbang secara dalam talian.

"Berdasarkan kajian, kedai runcit yang menggunakan e-dagang boleh meningkatkan lebih lima peratus nilai peningkatan jualan dan ini antara strategi untuk memperkasakan kedai runcit koperasi

menerusi BA100.

"Jadi, peruncit koperasi perlu memodenkan perniagaan masing-masing dengan menggunakan platform digital bagi meningkatkan keberkesanan pemasaran secara dalam talian.

"Ini antara strategi yang dibuat antara pihak Angkasa dan kerajaan untuk memodenkan pengendalian kedai koperasi selain dapat mengurangkan pembabitan orang tengah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Pembangunan dan Pemerkasaan Perniagaan Peniaga dan Penjaja Kecil Malaysia Peringkat Zon Timur di Kuala Terengganu.

Abdul Fattah berkata, ketika ini, terdapat 1,400 peruncit koperasi sudah berdaftar dan pihaknya mensasarkan 400 lagi peruncit koperasi berdaftar menjelang hujung tahun ini manakala selebihnya pada tahun depan.

"Dari situ, kita sasarkan nilai jualan setiap peruncit koperasi ini adalah RM200,000 setiap bulan dengan 1,000 pengguna bagi setiap outlet," katanya.

BA100 yang mendapat sokongan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) adalah program perniagaan e-dagang yang mengumpul belian barangan asas secara pukal mengikut permintaan di kedai runcit milik koperasi dengan menawarkan barang keperluan harian pada harga lima peratus lebih jimat berbanding pasaran biasa.

Sehingga kini, Angkasa mempunyai 14,625 koperasi dan 6.098 juta ahli di seluruh negara dengan perolehan RM45 bilion.

Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah (tengah) beramah mesra bersama peserta selepas merasmikan Program Pembangunan dan Pemerkasaan Perniagaan Peniaga dan Penjaja Kecil Malaysia Peringkat Zon Timur di Hotel Permai.  FOTO GHAZALI KORI
Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Abdul Fattah Abdullah (tengah) beramah mesra bersama peserta selepas merasmikan Program Pembangunan dan Pemerkasaan Perniagaan Peniaga dan Penjaja Kecil Malaysia Peringkat Zon Timur di Hotel Permai. FOTO GHAZALI KORI

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Julai 2020 @ 2:38 PM