AINOL Shahrina Sahar (kiri) bersama Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak berdiri di lantai kaca Star View , Menara Alor Setar dengan ketinggian 105 meter. FOTO NoorAzura Abdul Rahman
AINOL Shahrina Sahar (kiri) bersama Pengurus Besar Menara Alor Setar, Mohamad Zamri Abdul Razak berdiri di lantai kaca Star View , Menara Alor Setar dengan ketinggian 105 meter. FOTO NoorAzura Abdul Rahman
Noorazura Abdul Rahman


BERADA di lantai kaca sambil menikmati pemandangan pada ketinggian 105 meter akan memberi pengalaman baharu kepada pengunjung Menara Alor Setar tidak lama lagi.

Pelantar pemandangan terbuka yang dinamakan Star View pada menara itu diilhamkan daripada kejayaan dua unit Sky Box yang dibina di Sky Deck Menara Kuala Lumpur pada 2016.

Ketua Pegawai Eksekutif Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd Ainol Shahrina Sahar berkata, pihaknya menyediakan dua pelantar Star View menghadap ke arah utara dan selatan bandar raya Alor Setar.

"Pelantar pemandangan terbuka itu diwarnakan hijau kuning melambangkan warna negeri Kedah, pengunjung akan dapat menyaksikan keindahan sawah dengan berlatar belakang Gunung Keriang serta bangunan ikonik bersejarah di negeri ini.

"Selain itu, sekiranya cuaca cerah, pengunjung dapat melihat pemandangan sejauh Pulau Langkawi dan Gunung Jerai," katanya ketika sidang media di Menara Alor Setar hari ini.

Ainol Shahrina berkata, setiap pengunjung akan diberi masa dua minit berada di atas Star View, namun sekiranya terlalu ramai, pihaknya akan mengehadkan masa kepada 1 minit 40 saat.

Menurutnya, kesemua pengunjung akan dikehendaki mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selain hanya enam orang dibenarkan berada di pelantar Star View pada satu masa bagi mematuhi jarak sosial.

"Sebelum ini dengan adanya Sky Box di Menara Kuala Lumpur, kita menerima sejuta pengunjung setiap tahun namun untuk permulaan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), kita sasarkan 300 pengunjung setiap hari di Menara Alor Setar.

"Pengunjung tidak perlu bimbang kerana Star View dibina daripada tiga lapisan kaca kukuh dengan ketebalan 12.5 mililiter (ml) setiap satu serta mampu menampung berat sebanyak 1,200 kilogram (kg), malah ia mampu menahan kelajuan angin 140 kilometer per jam," katanya.

Bagi menarik pelancong ke menara berkenaan sempena PKPP, tiada sebarang bayaran tiket dikenakan bermula 1 Julai hingga 31 Julai ini.

Star View akan mula dibuka kepada orang ramai sebaik sahaja majlis perasmian dilancarkan oleh Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor dalam masa terdekat dengan tawaran diskaun sehingga 50 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Julai 2020 @ 1:34 PM