Amirul Aiman Hamsuddin


"SAYA terjaga dari tidur selepas mendengar bunyi ribut namun tidak sempat berbuat apa-apa apabila rumah bergegar dan runtuh," kata Mohd Faizal Rosdi, 33, yang terselamat selepas rumahnya dihempap pokok Pulai dalam kejadian ribut di Blok P, Sawah Sempadan, Tanjong Karang, awal pagi semalam.

Menurutnya, dalam kejadian 2.30 pagi itu, dia keadaan trauma dan mengigil membawa ibu, Azizah Ahmad, 54, dan adik perempuannya, Nor Asyikin Rosdi, 13, keluar daripada runtuhan kayu untuk berteduh di rumah jiran berdekatan.

"Waktu kejadian, cuaca sangat gelap dan disusuli hujan lebat serta angin kencang. Saya sedang tidur di bilik atas rumah manakala ibu dan adiknya di bilik berasingan.

"Apabila terjaga saya mendengar bunyi ribut dan mahu mengejutkan mereka namun tidak sempat berbuat demikian," katanya.

Dalam kejadian itu, sebahagian besar rumah pusaka berusia 60 tahun peninggalan arwah neneknya ranap dihempap pokok setinggi 27 meter di mana empat bilik, ruang tamu dan bahagian dapur musnah sama sekali.

"Runtuhan itu mengakibatkan saya terperangkap dalam bilik, begitu juga dengan ibu dan adik perempuan. "Alhamdulilah, Allah lindungi kami bertiga dan kami berjaya keluar dari runtuhan kayu walaupun dalam suasana gelap," katanya ketika ditemui Harian Metro, hari ini.

Mohd Faizal berkata, dia bersyukur isteri dan empat anak berusia lima hingga 10 tahun tidak bersamanya sewaktu kejadian kerana berada di rumah ibu mertuanya di Tali Air 10, Pasir Panjang, Sekinchan.

Katanya, pokok pulai terbabit sebelum ini pernah dipanah petir dan dia tidak menyangka ia akan menghempap rumah.

"Bayangkan, rumah yang berpuluh tahun diwarisi dari arwah nenek musnah dalam sekelip mata dan hanya tinggal tiang rumah dan kayu sahaja.

"Anggaran jumlah kerosakan dan kerugian dialami lebih RM 150,000," katanya.

Sumbangan orang ramai boleh disalurkan ke akaun Bank Islam atas nama Mohd Faizal Rosdi (12083020044996) atau menghubunginya di talian 019-6920755.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Julai 2020 @ 4:02 PM
Keadaan rumah peninggalan arwah nenek Mohd Faizal Rosdi yang ranap dihempap pokok dalam kejadian ribut di Blok P, Sawah Sempadan, awal pagi semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Keadaan rumah peninggalan arwah nenek Mohd Faizal Rosdi yang ranap dihempap pokok dalam kejadian ribut di Blok P, Sawah Sempadan, awal pagi semalam. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN