M Hifzuddin Ikhsan


ANGKATAN Pertahanan Awam Malaysia (APM) dalam perancangan mempertingkat keupayaan asetnya termasuk mempertimbang penggunaan pesawat udara dalam operasinya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, berkata APM memerlukan penambahbaikan dalam peralatan asetnya berikutan menjadi agensi pertama tiba di lokasi bencana.

Katanya, bagaimanapun keperluan aset baharu berkenaan perlu dipastikan tidak bertindih atau boleh dikongsi bersama agensi keselamatan lain yang mempunyai peranan sama.

"Kita sentiasa kaji keperluan aset APM dan mempertingkat aset sedia ada dari sudut penggunaannya termasuk mendapatkan aset udara.

"Bagaimanapun, jika (aset) boleh dikongsi bersama agensi lain, kita tidak perlu beli aset itu, namun jika tidak cukup kita mungkin boleh beli aset berkenaan," katanya pada sidang media selepas Majlis Perjumpaan Menteri Bersama Ketua Pesuruhjaya dan Warga APM Kedah di Alor Setar, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datin Mastura Mohd Yazid dan Ketua Pesuruhjaya APM, Datuk Roslan Wahab.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, ketika ini kebanyakan aset APM adalah ambulans yang turut perlu dinaik taraf mengikut keperluan semasa.

"Berikutan peranan APM yang banyak terbabit bersama masyarakat dan terbabit menangkap ular, kita melihat ada keperluan melengkapkan ambulans bersama kit antivenom.

"Selain itu, terdapat cadangan agar ambulans APM dilengkapkan alat ventilator berikutan terdapat lebihan kira-kira 60 alat itu yang sebelum ini diguna bagi merawat pesakit COVID-19," katanya.

MOHD Redzuan Yusof (dua dari kanan) melihat kenderaan milik APM ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kota Setar di Anak Bukit. FOTO Amran Hamid
MOHD Redzuan Yusof (dua dari kanan) melihat kenderaan milik APM ketika mengadakan lawatan ke Pejabat Pertahanan Awam Daerah Kota Setar di Anak Bukit. FOTO Amran Hamid

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Julai 2020 @ 7:32 PM