KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
KEADAAN kereta yang terlibat dalam kemalangan. FOTO NORSYAZWANI NASRI
Norsyazwani Nasri


SUAMI isteri cedera manakala anak perempuan berusia empat tahun maut dan bayi mereka cedera parah selepas motosikal dinaiki empat beranak itu terbabit kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, Kuching, semalam.

Dalam kejadian jam 12.01 malam, mangsa, Tania Tia Phua yang cedera di kepala meninggal dunia semasa menerima rawatan di Unit Kecemasan dan Trauma Hospital Umum Sarawak (HUS).

Bayi lelaki berusia tujuh bulan, Joepian Phua, cedera parah di muka dan anggota badan manakala bapa mereka, Jinson Jimbar, 31, cedera ringan dan ibu, Phua Choon Shiang, 35, cedera parah di paha.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak Superintendan Alexson Naga Chabu berkata, kejadian berlaku apabila Honda Jazz dipandu seorang lelaki berusia 34 tahun yang datang dari arah Batu 3 membelok ke kanan untuk masuk ke Jalan Hospital.

"Kereta dipandu dilanggar di bahagian sebelah kiri oleh penunggang motosikal SYM yang bergerak lurus dari arah pusat bandar menghala ke arah Batu 3.

"Penunggang motosikal bersama isteri serta dua anak mereka dibawa ke HUS untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, anak sulung pasangan itu yang duduk di bahagian hadapan motosikal disahkan meninggal dunia di hospital pada jam 1.15 pagi.

"Berdasarkan laporan pemandu kereta, lampu isyarat warna hijau semasa dia membelok ke kanan," katanya.

Beliau berkata, sampel darah pemandu kereta diambil untuk dianalisis alkohol dan keterangannya dirakam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Julai 2020 @ 7:28 PM