YUSUF melihat buah kelapa sawit pada pokok yang dirosakkan kumpulan gajah liar. FOTO Adnan Ibrahim
YUSUF melihat buah kelapa sawit pada pokok yang dirosakkan kumpulan gajah liar. FOTO Adnan Ibrahim
Adnan Ibrahim

SEORANG pekebun kecil kerugian kira-kira RM100,00 apabila 200 daripada 250 pokok kelapa sawit yang ditanam di kebun miliknya di Kampung Sri Lukut di Kahang dimusnahkan gajah liar sejak tiga hari lalu.

Yusuf Ibrahim, 64, berkata, ini bukan kali pertama gajah liar memusnahkan pokok kelapa sawit di kebun seluas kira-kira tiga hektar diusahakannya sejak 2008 itu namun serangan kali ini adalah yang paling teruk.

"Sebelum ini, kumpulan gajah liar ini hanya membabitkan lima hingga 10 ekor.

"Kali ini, tidak kurang 50 ekor yang datang menyerang. Ia tidak termasuk 13 anak-anak gajah yang berusia satu hingga tiga tahun.

"Ia menyebabkan pokok berusia lapan hingga 10 tahun ini rosak. Jumlah ini tidak termasuk kelapa sawit diusahakan 10 pengusaha lain," katanya.

Menurut Yusuf, lebih menyedihkan, sebahagian daripada pokok berkenaan sedang mengeluarkan buah namun belum masak sepenuhnya.

"Kali terakhir saya membaja pokok kelapa sawit ini ialah kira-kira seminggu lalu.

"Kumpulan gajah ini masih berada dalam kawasan kebun di kampung ini dan ia turut menyebabkan penduduk tidak berani ke kebun serta menoreh getah," katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Johor Salman Saaban ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menghantar anggota untuk membuat siasatan dan menghalau kumpulan gajah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 7:42 PM