Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Pendidikan mengenal pasti tiga model pengoperasian pembukaan penuh sekolah yang perlu dijadikan panduan oleh pentadbir sekolah mengikut kesesuaian dan situasi di sekolah masing-masing.

Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin, berkata, model berkenaan adalah Model Satu Sesi, Model Dua Sesi dan Model Penggiliran.

Menurutnya, Model Satu Sesi adalah bagi sekolah yang mempunyai bilik darjah atau ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dalam satu sesi, selepas mengambil kira penjarakan sosial.

"Model kedua iaitu Model Dua Sesi adalah bagi sekolah sedia ada yang sudah beroperasi secara dua sesi atau pun sekolah satu sesi yang kini perlu beroperasi secara dua sesi kerana tidak mempunyai ruang yang mencukupi bagi menempatkan semua murid dengan mengambil kira penjarakan sosial.

"Model ketiga iaitu Model Penggiliran adalah sekolah yang tidak mempunyai ruang mencukupi bagi menempatkan semua murid walaupun dengan melaksanakan model dua sesi,"katanya pada Sidang Media Khas di Putrajaya, hari ini.

Mohd Radzi berkata, kebanyakan sekolah di dalam kategori ini adalah sekolah yang terletak dalam kawasan berkepadatan penduduk yang tinggi.

"Pihak sekolah hendaklah menentukan bentuk penggiliran yang sesuai berdasarkan keperluan murid. Contohnya, jika sekolah mempunyai ruang yang mencukupi, murid tingkatan empat akan turut hadir setiap hari.

"Keutamaan diberi sebagai persediaan untuk menduduki peperiksaan SPM pada tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata, murid tahun satu hingga enam boleh hadir secara bergilir-gilir mengikut kelas atau tahap.

"Dalam hal ini, pihak sekolah yang menentukan bentuk penggiliran bersesuaian.

"Untuk model penggiliran ini, kaedah pembelajaran murid adalah secara hybrid, iaitu secara bersemuka di sekolah semasa hari persekolahan dan secara Home-Based Learning di rumah untuk hari-hari yang mereka tidak dijadualkan berada di sekolah," katanya.

Menurutnya, maklumat senarai sekolah mengikut model yang telah ditetapkan akan dimaklumkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selewat-lewatnya seminggu sebelum sekolah dibuka semula sepenuhnya.

PELAJAR berbaris dengan penjarakan sosial ketika membeli makanan di kantin ketika tinjauan di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam tempoh PKPP. FOTO Asyraf Hamzah
PELAJAR berbaris dengan penjarakan sosial ketika membeli makanan di kantin ketika tinjauan di Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dalam tempoh PKPP. FOTO Asyraf Hamzah

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Julai 2020 @ 5:06 PM