PENOLONG Kanan Komisioner Mat Yaacob (kiri) menandatangi surat serah tugas bagi melepaskan jawatannya. FOTO Siti Rohani Idris
PENOLONG Kanan Komisioner Mat Yaacob (kiri) menandatangi surat serah tugas bagi melepaskan jawatannya. FOTO Siti Rohani Idris
Siti Rohana Idris


SERAMAI 570 banduan warga asing menjalani saringan kesihatan Covid-19 di dua penjara di Kelantan sejak seminggu lalu.

Pengarah Penjara Kelantan, Penolong Kanan Komisioner Mat Yaacob, berkata saringan secara ujian calitan (swab test) itu dilakukan secara berkala dan dijangka siap sepenuhnya dalam masa terdekat di Penjara Pengkalan Chepa dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Machang.

"Saringan dibuat secara berperingkat kerana menurut prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), mana-mana banduan yang berada dalam penjara lebih dari enam bulan tidak perlu membuat saringan.

"Keutamaan dibuat kepada banduan warga asing yang baharu ditahan atas pelbagai kesalahan sebelum diserahkan kepada mana-mana agensi penguatkuasa berkaitan.

"Kita tengok kepada tarikh bebas serta tarikh perbicaraan dan kita dahulukan yang ini," katanya ketika sidang media di Dewan Tan Sri Murad Ahmad selepas majlis serah terima tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa, di Kota Bharu, hari ini.

Mat berkata pihaknya menunggu sebarang arahan daripada pihak atasan termasuk KKM sama ada saringan yang sama perlu dibuat kepada banduan tempatan.

Menurutnya lagi, kemasukan banduan adalah berterusan termasuk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKPB.

"Apabila ada tangkapan mereka akan dibawa ke penjara sama ada banduan reman, menunggu dijatuhkan hukum atau yang sudah dijatuhkan hukuman.

"Setakat ini belum ada arahan untuk dibuat saringan kepada banduan tempatan dan jika ada kami akan patuhi bagi memastikan pelaksanaannya," katanya.

Mat yang sebelum ini menyandang tugas sebagai Pengarah Penjara Pengkalan Chepa selama dua tahun kini dilantik sebagai pengarah negeri berkuatkuasa hari ini.

Majlis serah terima tugas yang disaksikan oleh Pengarah Penjara Negeri Pahang, Komisioner Penjara Datuk Abd Basir Mohamad itu menyaksikan jawatan Pengarah Penjara Pengkalan Chepa kini disandang oleh Penolong Kanan Komisioner Wan Sani Ab Latiff yang sebelum ini bertugas di Penjara Marang, Terenganu.

Sementara itu, Penjara Pengkalan Chepa bakal dinaiktaraf dari segi keselamatannya dengan pemasangan pagar anti panjat.

Mat berkata peruntukan sebanyak RM12 juta sudah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) bagi tujuan itu.

"Pemasangan pagar ini adalah sebagai tambahan kepada ciri keselamatan bagi penjara ini yang masih kekal binaannya sejak 1970-an dan agak memberikan cabaran buat kakitangan kami untuk menguruskan perjalanan operasi.

"Umum mengetahui Penjara Pengkalan Chepa adalah penjara terbuka sejak dibina dahulu dan struktur itu masih kekal sehingga sekarang yang mana konsep itu sudah tidak digunakan lagi sekarang di mana-mana jabatan.

"Dengan pemasangan pagar anti panjat nanti, kita memberi jaminan keselamatan akan dapat dipertingkatkan selaras dengan disiplin serta komitmen daripada semua kakitangan penjara di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Jun 2020 @ 1:54 PM