Azmin Ali (tengah) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor Bil 1 Tahun/2020 di I-City Convention Centre, Central Walk. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Azmin Ali (tengah) bersama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir pada Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg) Selangor Bil 1 Tahun/2020 di I-City Convention Centre, Central Walk. FOTO MUHD ASYRAF SAWAL
Ruwaida Md Zain


PROJEK infrastruktur di Selangor yang sudah diluluskan perlu disegerakan pembinaannya.

Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, ini kerana projek terbabit memberikan kesan berganda kepada pertumbuhan ekonomi Selangor dan negara.

"Hari ini kita membincangkan beberapa projek infrastruktur yang perlu dijalankan segera kerana ia ada kesan berganda (multiply effect) kepada penjanaan dan perkembangan ekonomi negeri dan juga negara malah kita mahu projek yang diluluskan ini mesti diteruskan segera," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas intipati mesyuarat selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Pembangunan Negeri (MTPNg), Selangor Darul Ehsan Bil. 1/2020 di Central Walk, Seksyen 7, Shah Alam, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Mohamed Azmin berkata, dalam mesyuarat itu beliau turut memberikan fokus kepada keperluan teknologi dan ekonomi digital dalam masyarakat.

"Kita lihat kesan daripada Covid-19, kecenderungan masyarakat termasuk individu, isi rumah dan masyarakat perniagaan terbabit dalam ekonomi digital dan teknologi digital.

"Telekom Malaysia hari ini membentangkan kertas kerja untuk melihat bagaimana usaha kerajaan negeri Selangor untuk meningkatkan infrastruktur jalinan fiber optik dan kita akan memberikan sokongan terhadap usaha itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut ditanya berhubung kerjasama antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang berbeza politik.

"Tiada perbedaan soal politik kerana ini tanggungjawab bersama, negeri dan juga pusat mempunyai tanggungjawab bersama, apatah lagi dalam pasca pandemik Covid-19.

"Ini masanya kerajaan pusat dan negeri bekerjasama untuk mengatasi cabaran yang kita hadapi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Covid-19.

"Ini penting bagi kita semua, seperti saya sebutkan tadi, jalinan kerjasama antara Selangor dengan pusat itu penting kerana negeri itu adalah penyumbang terbesar KDNK negara, lebih 23 peratus.. kita mahu melihat kesan daripada pandemik Covid-19 ini tidak akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi dalam negeri," katanya.

Beliau turut memuji prestasi Amirudin serta pegawai kerajaan negeri yang meneruskan dasar peduli rakyat.

"Saya gembira kerana Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dan pasukannya meneruskan dasar peduli rakyat dan memberikan tumpuan kepada pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri.

"Saya kira usaha seperti ini perlu mendapat dokongan, sebab itu kerajaan pusat akan terus menjalinkan kerjasama dengan kerajaan Selangor bagi rakyat disejahterakan dan negeri terus makmur," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Jun 2020 @ 8:28 PM