AMIRUDIN. FOTO Muhd Asyraf Sawal
AMIRUDIN. FOTO Muhd Asyraf Sawal
Norzamira Che Noh

KERAJAAN negeri membatalkan Selangor International Business Summit (SIBS) yang dijadualkan berlangsung pada Oktober depan.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pembatalan itu dilakukan susulan pandemik Covid-19 yang masih melanda negara serta dunia.

"Keputusan ini dibuat beberapa minggu lalu selepas meneliti perkembangan Covid-19, kita akan menggantikannya sidang berkenaan dengan program yang bersesuaian.

"Mungkin boleh dilakukan secara dalam talian yang mana ia juga boleh diikuti oleh pemain industri dan pelabur dari seluruh dunia," katanya ketika sidang media di Bilik Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Shah Alam hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri merancang sidang berkenaan dianjurkan berdekatan dengan Sidang Kemuncak Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), berdasarkan situasi semasa APEC juga akan mendapat kesan.

Menurutnya, pihaknya juga sedia menimbang semak beberapa perancangan kerajaan negeri untuk tahun ini termasuk Halal Fest, pameran serta promosi pelaburan di seluruh dunia disebabkan Covid-19.

"Kita kena tunggu maklumat lanjut daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kerajaan Persekutuan.

"Penganjuran sidang secara dalam talian juga boleh diteruskan dan ia juga sebahagian daripada normal baharu," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 5:33 PM