KEADAAN sekolah di Sabah yang dinaiki air FOTO Ihsan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah
KEADAAN sekolah di Sabah yang dinaiki air FOTO Ihsan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah
Rafiqah Dahali

SEBANYAK 25 sekolah di Sabah terjejas dan dinaiki air berikutan hujan lebat sehingga menyebabkan banjir melanda beberapa kawasan di negeri ini sejak semalam.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JKNS) Dr Mistrine Radin berkata, sekolah terbabit terletak di tujuh daerah membabitkan Penampang, Kota Kinabalu, Papar, Sipitang, Kota Belud, Tuaran dan Beaufort.

Katanya, di Penampang, antara sekolah terbabit ialah Sekolah Menengah (SM) St Michael, Sekolah Kebangsaan (SK) Sugud, SK Kibabang, SK St Theresa manakala di Papar ialah SK Daingin, SK Kambizaan, SK Gana, SK Pekan Kinarut, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kin Kiau Kinarut, SJKC Cheng Ming dan SK Kelatuan.

Menurutnya, di Kota Belud pula, sekolah yang ditutup adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi, SMK Taun Gusi 2, SMK Pekan, SMKA Tun Said, SK Sembirai, SK Kesapang manakala di Beaufort membabitkan SK Bukau, SK Ladang Lumadan, SK Sinoko dan SK Klias Baru.

"Di Kota Kinabalu pula SK Rampayan, di Sipitang membabitkan SK Long Pasia manakala di Tuaran pula SK Bundung dan SK Tinambak.

"Kebiasaannya sekolah yang dilanda banjir akan ditutup buat sementara waktu.

"Biasanya kami akan menutup sekolah sehingga banjir berhenti dan sekolah selamat untuk dimasuki," katanya.

Namun, katanya, hanya SM St Michael, Penampang yang ditutup esok sehingga banjir berakhir.

"Kita mempunyai syarikat pembersihan kawasan untuk melakukan pembersihan tetapi guru juga akan turut melakukan gotong-royong," katanya.

Menurutnya, sekolah rendah masih belum beroperasi tetapi dalam persediaan untuk pembukaan pra-sekolah bermula 1 Julai ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2020 @ 5:41 PM