GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Sebanyak sembilan lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) mulai Khamis ini hingga 8 September depan.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Rodzi Md Saad berkata, pelaksanaan PKPD itu berdasarkan penilaian risiko dan trend jangkitan Covid-19.

"Terdapat enam lokaliti dikenakan PKPD di Sabah iaitu Kampung Sentosa Blok 4 dan Batu 2, Lorong Saddani di Tawau; Kampung Sayap, Kota Belud; Kampung Rampayan Laut, Kota Belud; Kuarters Kilang Mee Tien Hock, Penampang dan Taman Sri Panglima, Beaufort.

"Selain itu, tiga perkampungan Orang Asli dalam Mukim Ulu Telom, Cameron Highlands, Pahang iaitu Kampung Sungai Kabuk; Kampung Sungai Tiang dan Kampung Sungai Chohong turut dikenakan PKPD," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Rodzi berkata, enam lokaliti di Sabah iaitu Kampung Pulau Penampang, Kota Kinabalu; Kampung Gudon, Menggatal, Kota Kinabalu; Kampung Lobou, Kota Kinabalu; Kampung Menunggui, Kota Belud; Kampung Tengah, Kinarut, Papar dan Kampung Timbua-Kembiroi-Lobou Baru, Ranau, yang dikenakan PKPD sehingga esok akan dilanjutkan bermula Khamis ini hingga 8 September depan.

Beliau berkata, PKPD di Felda Jengka 25, Temerloh, Pahang; Felda Tersang 1,2, & 3, Raub, Pahang dan Ladang Kerilla, Tanah Merah, Kelantan akan ditamatkan esok seperti yang dijadualkan, manakala Kampung Kubang Sawa, Tumpat Kelantan, juga ditamatkan esok iaitu lebih awal daripada dijadualkan pada 27 Ogos ini.

"Di Sabah pula, terdapat 14 lokaliti yang dikenakan PKPD sebelum ini akan ditamatkan esok termasuk lima lokaliti di Kota Kinabalu iaitu Bandar Sierra, Kampung Kalasanan, Bandaran Segama, Taman Bukit Setia dan Taman Putera Jaya.

"Selain itu, PKPD di Kuarters Kilang J&L, Jalan Kokol, Kota Kinabalu; Kampung Petagas, Putatan; Kampung Pogunon, Penampang; Kampung Batu 1, Sipitang; Kampung Bukit Kukusan, Tawau; Kampung Batu-Batu, Tenom; Kampung Tempasuk 1, Kota Belud; Kampung Tambulaung, Kota Belud dan Kampung Tagibang, Kota Marudu, turut ditamatkan esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Ogos 2021 @ 7:37 PM