Gambar hiasan
Gambar hiasan
Norsyazwani Nasri


PESARA guru wanita kerugian RM516,457 akibat terpedaya dengan sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia Berhad (TM) dan polis bermula Mac hingga 22 Mei lalu.

Menyedari ditipu, mangsa berusia 61 tahun dari Kampung Berawan Batu 6, Jalan Kubong, Limbang, tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Limbang, 12.30 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pada mulanya mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang mendakwa sebagai seorang pegawai TM Malaysia.

Menurutnya, pegawai itu mendakwa talian telefon yang didaftarkan atas nama wanita akan dipotong kerana disyaki terbabit dengan kegiatan judi dalam talian bersama dengan seorang lelaki bernama Ong Kai Sing.

"Mangsa kemudian disambungkan kepada seorang anggota Polis di Kuantan, Pahang bernama Sarjan Zulkifli Atot yang kononnya sudah membuat semakan dan mendapati pengadu ada menerima dana daripada CIMB Bank berjumlah RM200,000 hasil daripada aktiviti judi haram.

"Untuk mengelakkan tindakan undang-undang, mangsa diarahkan menghubungi Inspektor Siti Nur Milah Jamil. Mereka berkata jika kes tidak diselesaikan, polis tidak akan menjamin keselamatan mangsa kerana Ong adalah individu berbahaya," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, mangsa dijanjikan oleh Inspektor Siti Nur Milah bahawa polis akan melantik pihak AMLA untuk menjalankan siasatan dana wang mangsa dengan syarat mangsa menyerahkan semua wang di dalam bank kepada mereka.

"Akibat takut diambil tindakan undang-undang, mangsa mengikut arahan sindiket itu dan menyerahkan semua wang itu.

"Mangsa memindahkan wangnya daripada akaun Amanah Saham Nasional Berhada(ASNB) sebanyak RM265,000 ke akaun Bank Simpanan Nasional(BSN) miliknya sebelum dimasukkan ke dalam akaun suspek secara berperingkat dengan pelbagai kaedah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2020 @ 8:08 PM