GAMBAR Hiasan
GAMBAR Hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi


Gombak: Seorang lelaki yang naik angin apabila isterinya meminta cerai bukan saja memukul wanita itu, malah membogelkan mangsa sebelum merakam video dan mengugut mahu menyebarkan video bogel itu.

Bagaimanapun, perbuatan kejam lelaki berusia 31 tahun itu menerima padah apabila dia ditahan polis, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima laporan polis daripada mangsa berusia 36 tahun mengenai kejadian dirinya dipukul suaminya ketika berada di rumah mereka di Bandar Tasik Puteri, Rawang, dekat sini.

Menurutnya, mangsa memaklumkan suaminya turut membogelkannya dan merakam video sebelum mengugut hendak menyebarkan video bogel itu.

"Punca kejadian apabila pengadu minta untuk diceraikan dan perkara ini selalu diulang olehnya sehingga wujud ketegangan dalam keluarga.

"Akibat kejadian itu, mangsa menerima rawatan pesakit luar di Hospital Selayang selepas mengalami luka calar dan lebam pada bahagian muka serta leher," katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Arifai berkata, susulan itu, polis menahan suspek dan merampas telefon bimbitnya bagi membantu siasatan berhubung video bogel dirakamnya.

Beliau berkata, suspek direman empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mac 2021 @ 5:35 PM