GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Roji Kawi


SEORANG lagi disahkan positif Covid-19 di Bintulu, hari ini menjadikan jumlah keseluruhan dijangkiti wabak itu di Sarawak kini seramai 566 orang.

Lelaki tempatan berusia 67 tahun itu dikenal pasti mempunyai kontak rapat dengan kes ke-558.

Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, mangsa terbaru itu tidak menunjukkan sebarang tanda dan gejala.

"Penambahan kes ini adalah hasil daripada pengesanan dan saringan aktif kontak rapat kepada kes-558," katanya dalam kenyataan di Kuching, hari ini.

Selain itu katanya, satu kes baru sembuh dan discaj dari Hospital Umum Sarawak (HUS), hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes sembuh dan discaj seramai 535 orang.

"Seramai 14 orang masih menerima rawatan di dalam wad isolasi hospital dan jumlah kematian kekal sebanyak 17 orang," katanya.

Sementara itu, daerah Simunjan bertukar status zon kuning kepada zon hijau selepas tiada kes baharu Covid-19 dilaporkan dalam tempoh 14 hari daripada kes terakhir.

Ia menjadikan jumlah daerah berstatus zon kuning setakat hari ini sebanyak tiga daerah, iaitu Bintulu, Samarahan dan Kuching manakala 37 daerah berstatus zon hijau.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Jun 2020 @ 8:58 PM