FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Nurul Hidayah Bahaudin

MENGGUNAKAN 'umpan' hadiah sebuah kereta buatan Jepun. Itu helah seorang lelaki apabila menipu lelaki warga emas sebelum melarikan barang berharga milik mangsa.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, pihaknya menerima menerima laporan dibuat mangsa berusia 76 tahun berhubung kejadian terbabit, kelmarin.

"Mangsa memaklumkan dia pergi ke sebuah pasar raya di Kelana Jaya sebelum dihampiri suspek ketika sedang memasukkan barangan dibeli ke dalam kereta.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai pengurus pasar raya itu dan memberitahu mangsa bahawa dia memenangi sebuah kereta.

"Mangsa yang terpedaya dengan suspek kemudian diminta mengikuti lelaki itu ke pusat pameran kereta berkenaan di Klang menggunakan kereta mangsa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Nik Ezanee berkata, ketika dalam perjalanan, suspek meminta mangsa menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM), kad kredit dan lesen memandu untuk dibuat salinan bagi penebusan hadiah.

"Sebaik tiba di pusat pameran kereta itu, suspek turun dari kenderaan berkenaan sebelum menghilangkan diri ketika mangsa menunggunya di tempat letak kereta.

"Dalam kejadian itu, mangsa mendakwa mengalami kerugian sebanyak RM15,000," katanya.

Menurutnya, pihak polis giat mengesan suspek giat untuk siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Katanya, orang ramai diseru tidak terpedaya dan segera melaporkan kegiatan itu kepada pihak polis bagi mengekang jenayah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Jun 2020 @ 9:19 PM