FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Hassan Omar


JABATAN Agama Islam Melaka (JAIM), hari ini, membenarkan mereka berusia lebih 70 tahun menjadi jemaah solat Jumaat dan fardu di masjid dan surau dengan syarat benar-benar sihat, berbanding larangan mereka berbuat demikian sebelum ini.

Had umur minimum mereka yang tidak dibenarkan hadir di masjid dan surau juga dikurangkan kepada 12 tahun, berbanding 15 tahun sebelum ini.

Selain itu, jemaah yang solat atas kerusi sudah dibenarkan hadir di masjid dan surau dengan syarat mereka benar-benar sihat tanpa sebarang gejala Covid-19 seperti demam, selsema, sesak nafas dan batuk.

Pengarah JAIM, Datuk Md Azhan Samat berkata, kelonggaran itu sejajar kenyataan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali dan Pekeliling Jabatan Mufti Negeri Melaka pada 11 Jun lalu yang membenarkan jemaah solat Jumaat ditambah berbanding 40 sebelum ini, mulai 12 Jun lalu.

Kenyataan dan pekeliling itu juga membenarkan jumlah jemaah masjid untuk solat fardu dinaikkan.

Bagaimanapun, jemaah diingatkan agar sentiasa menjaga jarak satu meter selama berada dalam masjid dan surau, termasuk ketika menunaikan solat.

"Mereka yang demam, selsema, sesak nafas dan batuk serta menghidap penyakit kronik seperti sakit jantung, barah, buah pinggang, lelah dan seumpamanya tidak dibenarkan hadir.

"Jemaah hendaklah sentiasa memakai pelitup muka, berwuduk di rumah, membawa dan menggunakan sejadah sendiri kerana perkongsian sejadah tidak digalakkan," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, jemaah wajib mendaftarkan nama selepas pegawai masjid mengambil suhu badan mereka, selain tidak melakukan kontak fizikal seperti berjabat tangan sebelum dan selepas solat.

Jemaah hendaklah segera meninggalkan masjid dan surau selepas solat tetapi tazkirah ringkas hanya dibenarkan selepas solat Subuh dengan had maksimum 20 minit.

"Pihak pentadbir boleh menggunakan apa-apa kaedah untuk memastikan jemaah tidak melebihi kapasiti yang dibenarkan, sama ada dengan menggunakan kaedah pemilihan awal atau secara 'walk-in' sehingga jumlah jemaah mencukupi kapasiti masjid atau surau," katanya.

JAIM turut membenarkan akad nikah dilaksanakan di masjid dan surau tetapi tidak membenarkan jamuan makan di situ.

Sehubungan itu, JAIM meminta pihak pentadbir masjid menyediakan ruangan di kawasan yang sesuai untuk membolehkan musafir solat.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Jun 2020 @ 10:12 AM