Sebanyak 57 peratus daripada 22,700 pengundi di laman Facebook Harian Metro tidak bersetuju dengan 43 peratus lagi bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Sebanyak 57 peratus daripada 22,700 pengundi di laman Facebook Harian Metro tidak bersetuju dengan 43 peratus lagi bersetuju dengan cadangan berkenaan.
Mahaizura Abd Malik

RAMAI rakyat Malaysia tidak bersetuju kerajaan membuka sesi persekolahan untuk murid sekolah rendah pada September atau Oktober ini.

Mereka mewakili suara ibu bapa yang menyuarakan kebimbangan menerusi undian di laman Facebook (FB) dan Twitter Harian Metro.

Undian itu memberi pilihan sama ada pengundi setuju atau tidak dengan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya sekolah rendah dibuka pada hujung September atau Oktober ini.

Sebanyak 57 peratus daripada 22,700 pengundi tidak bersetuju dengan 43 peratus lagi bersetuju dengan cadangan berkenaan.

Namun, berbeza pula dengan pengundi Twitter, 57 peratus daripada 719 orang bersetuju manakala 43 peratus lagi tidak bersetuju.

Pengguna FB bernama Izzy Al-Yahya berkata, sesi persekolahan tidak patut dibuka lagi pada masa ini.

"Dorang (murid) tidak akan buat dan faham penjarakan sosial, tak akan hendak harap cikgu jaga semua.

"Kasihan cikgu, sah tidak terjaga, itu belum berkongsi makan minum, main peluk sesama mereka," katanya.

Azieda Azieda berkata, dia tidak setuju apatah lagi sudah menghampiri akhir tahun.

"Sudah hendak akhir tahun. Boleh tak kalau tak setuju. Insya-Allah anak-anak kita walaupun di rumah masih lagi boleh belajar walaupun tidak sepenuhnya mengikuti...lagi di Johor, sekolah pagi dan sekolah agama (petang)," katanya.

Sementara itu, Maria Isabella mencadangkan sekolah dibuka berperingkat dengan mengutamakan murid tahun empat hingga enam.

"Janganlah tergesa-gesa buka sekolah rendah terutama untuk tahun satu, dua dan tiga. Jumlah mereka ramai walau berperingkat akan di buka. Lebih-lebih lagi dengan (pematuhan) penjarakan sosial paling susah untuk anak-anak tahap ini," katanya.

Bagi EyQin EyRah pula, dia berharap sekolah dibuka tahun hadapan kerana masih bimbangkan keselamatan anak.

"Saya harap sekolah dibuka tahun depan saja, risau anak-anak kerana saya tidak membawa mereka keluar sejak 18 Mac sampai sekarang. Biarlah mereka kebosanan di rumah pun yang penting keselamatan terjaga," katanya.

Sementara itu, Imyus Imyus pula berbeza pendapatnya dan mengakui bersetuju dengan pembukaan semula sekolah rendah kerana katanya, murid akan mula patuh dengan normal baharu.

"Kita kena didik anak-anak, hendak tunggu reda tidak tahu bila. Belajar hadapi secara perlahan-lahan, SOP perlu ditambah baik," katanya.

Senada dengan saranan itu, Bustaman Rusli berkata, ibu bapa yang masih bimbang dengan Covid-19, perlu diberi pilihan sama ada menghantar anak ke sekolah atau tidak.

"Boleh dah buka sekarang. Tetapi tiada paksaan. Yang rasa risau tidak payah (pelur) hantar (ke sekolah)," katanya.

Manakala, Wan Poninan pula sarankan kerajaan membuka sekolah rendah bermula Julai ini.

"Buka sajalah Julai ini. Lama-lama terperap rumah jadi apa, pelajaran dorang (murid) ini (ketinggalan)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Jun 2020 @ 7:31 PM