Foto hiasan.
Foto hiasan.
BERNAMA

SEORANG perunding seni bina didakwa di Mahkamah Sesyen, Petaling Jaya, Selangor, atas dua pertuduhan menipu berkaitan projek Kediaman 1Malaysia Mampu Milik (K1MMM) dan cek tendang bernilai RM2 juta.

Tertuduh, Mohsin Bujang, 62, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Mengikut pertuduhan pertama, bapa lima anak itu didakwa memperdayakan Pengarah Syarikat IM Bina Sdn Bhd, Mohd Yusof Kotok, 57, untuk mempercayai bahawa syarikat milik mangsa mendapat kontrak pembangunan perumahan K1MMM yang tidak wujud.

Mangsa kemudian memberikan dua keping cek masing-masing bernilai RM500,000 sebagai deposit untuk mendapatkan kontrak itu yang tidak akan dilakukan sekiranya tidak diperdaya.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memperdaya Mohd Yusof untuk mempercayai (ketulenan) satu cek bayaran balik daripada penghakiman persetujuan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bernilai RM1 juta dan mangsa mendepositkan cek tendang dengan nilai sama ke dalam akaun syarikatnya, yang tidak akan dilakukan sekiranya tidak diperdaya.

Kedua-dua kesalahan didakwa dilakukan di Syarikat IM Bina Sdn Bhd, No 15, Jalan Dagang SB4/1, Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dan di RHB cawangan Subang Jaya masing-masing pada 19 Jun 2017 dan 1 Mac 2019.

Mohsin didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun dan dengan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Hafizah Zahidah Abdullah tidak menawarkan sebarang jaminan.

Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam Shalehhuddin Salam memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah atas alasan perlu menjalani rawatan bagi penyakit kencing manis dan darah tinggi.

Mahkamah membenarkan dia diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan dan menetapkan 9 Julai untuk sebutan semula kes.-Bernama.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Jun 2020 @ 5:22 PM