Hayati Ibrahim dan Raja Noraina Raja Rahim


"PERJALANAN rentas negeri masih tidak dibenarkan, kecuali kategori yang disebutkan sebelum ini," tegas Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Peringatan itu dikeluarkan Ismail Sabri yang juga Menteri Pertahanan berikutan masih ramai yang cuba merentas negeri tanpa surat kebenaran.

Menurutnya, semalam sebanyak 111 kenderaan diarah berpatah balik kerana cuba merentas negeri tanpa kebenaran.

Katanya, negeri yang tertinggi adalah Kedah 63; Selangor (25) dan Melaka (14).

"(Jadi) saya ingatkan sekali lagi perjalanan rentas masih tidak dibenarkan kecuali kes kecemasan, kematian, perubatan, serta mereka yang bekerja berulang-alik antara negeri.

"Polis akan mengambil tindakan terhadap mereka yang melakukan kesalahan, bekerjasamalah dengan pihak berkuasa dengan mematuhi setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) dan arahan yang dikeluarkan," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesedaran orang ramai terhadap kepentingan tidak berkongsi berita palsu sudah meningkat.

Menurutnya, ia dapat dilihat daripada tiada pertambahan kertas siasatan baharu yang dibuka Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam tempoh 10 hari lalu.

Menurutnya, sehingga hari ini 266 kertas siasatan sudah dibuka PDRM dan SKMM berhubung berita palsu berkaitan Covid-19.

"Daripada jumlah itu, 179 kes masih dalam siasatan, manakala 30 sudah didakwa di mahkamah; 11 diberi notis amaran dan 18 lagi mengakui bersalah," katanya.

ALIRAN trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak memasuki Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu. FOTO Asyraf Hamzah.
ALIRAN trafik di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak memasuki Kuala Lumpur pada 30 Mei lalu. FOTO Asyraf Hamzah.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Jun 2020 @ 3:21 PM