Aminuddin. FOTO Arkib NSTP
Aminuddin. FOTO Arkib NSTP
Mohd Amin Jalil


MENTERI Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, menggesa penduduk di negeri itu supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih berhubung situasi Covid-19 di negeri itu.

Beliau berkata, walaupun ada kes baharu Covid-19 yang direkodkan hari ini, penduduk di negeri itu diminta tidak panik kerana majoriti kes daripada kluster Pedas.

"Usah menyebarkan berita yang tidak sahih berkaitan situasi Covid-19 di Negeri Sembilan.

"Pastikan segala maklumat yang disebarkan didapati daripada sumber yang sahih seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNNS) dan pihak berkuasa yang lain," katanya dalam kenyataan di Facebooknya, hari ini.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini memaklumlkan, pekerja kilang pemprosesan ayam di Pedas Rembau yang dikuarantin selama 14 hari sebelum ini dikesan positif jangkitan Covid-19 sekali gus menyumbang peningkatan kes baharu dalam kluster terbabit.

Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan JKNNS dalam laporan yang dikeluarkan lewat petang ini, merekodkan empat kes baharu Covid-19

Jumlah keseluruhan kes Covid-19 di Negeri Sembilan merekodkan 856 dengan didahului Seremban sebanyak 365, Rembau (273), Tampin (19), Jempol (14), Port Dickson (12), Kuala Pilah (8) dan Jelebu (2).

Laporan itu turut mengesahkan tiada kes kematian baharu berkaitan Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kematian di Negeri Sembilan kekal sebanyak lapan kes.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 11:02 PM