POLIS mendapatkan maklumat peribadi setiap individu yang ditahan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Bintulu pada tengah malam Jumaat. FOTO ERIKA GEORGE
POLIS mendapatkan maklumat peribadi setiap individu yang ditahan ketika berhibur di sebuah pusat hiburan di Bintulu pada tengah malam Jumaat. FOTO ERIKA GEORGE
Erika George


SEMBILAN warga tempatan ditahan di sebuah pusat hiburan di bandar ini tengah malam semalam kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Terdahulu, anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bintulu sedang menjalankan pemantauan PKPB sebelum terdengar bunyi bising dari pusat hiburan itu.

Ketua Polis Daerah Bintulu Superintendan Zulkipli Suhaili berkata, anggota berkenaan kemudiannya mengetuk pintu pusat hiburan itu sebelum ia dibuka seorang lelaki tempatan.

"Pemeriksaan mendapati enam lelaki duduk di sebuah meja dan minum minuman keras.

"Pemeriksaan lanjut menemui tiga wanita warga tempatan di dapur pusat hiburan itu yang cuba bersembunyi dan lari daripada pemeriksaan," katanya hari ini.

Menurut beliau, individu ditahan berusia 19 hingga 68 tahun. Mereka dibawa ke IPD Bintulu untuk siasatan lanjut.

"Penjaga premis turut ditahan dan akan disiasat mengikut Seksyen 5(2) Ordinan Hiburan 2001 kerana gagal untuk mengemukakan dokumen sah berkaitan status operasi pusat hiburan miliknya itu," katanya.

Kes turut disiasat mengikut Peraturan 3, Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mei 2020 @ 5:27 PM