Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid


SERAMAI 34 petugas di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar diarah menjalani kuarantin selama 14 hari selain ICQS berkenaan turut ditutup bermula semalam.

Arahan itu dikeluarkan susulan enam pelajar warga Thailand yang melalui pintu sempadan negara itu positif Covid-19 apabila menjalani ujian saringan di negara berkenaan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah bagaimanapun berkata, tiada kakitangan imigresen di ICQS Padang Besar yang positif virus berkenaan.

"Melalui kerjasama antara Malaysia dan Thailand persetujuan menjadikan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai transit kepada pelajar negara itu yang ingin kembali, namun mereka tidak dibenarkan melakukan persinggahan di mana-mana.

"Bagaimanapun, apabila sampai ke sempadan Perlis, pasport mereka perlu dicop dan ketika itu, berlaku pendedahan dengan pegawai imigresen. Apabila mereka sampai ke Thailand, mereka didapati positif dan pihak Thailand maklumkan perkara itu kepada kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Semalam, ICQS Padang Besar ditutup selepas enam warga Thailand yang melalui pintu sempadan itu untuk kembali ke negara asal mereka, kelmarin disahkan positif Covid-19.

Enam warga Thailand itu antara kumpulan 39 pelajar yang menuntut di universiti di Riyadh, Arab Saudi dan kepulangan mereka diuruskan sepenuhnya kerajaan Thailand sejurus mendarat di KLIA.

ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan Operasi Nyahcemar dan Sanatasi Awam di ICQS, Padang Besar. FOTO Amran Hamid
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat melakukan Operasi Nyahcemar dan Sanatasi Awam di ICQS, Padang Besar. FOTO Amran Hamid

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 9:15 PM