Zuliaty Zulkiffli


TUJUH lokasi yang menjadi tumpuan orang ramai disanitasi dalam Ops Nyah Cemar oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, hari ini.

Antara lokasi terbabit termasuk di Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Anak Bukit dan KTMB Alor Setar, Pasar Besar Alor Setar, Pasar Awam Kampung Berjaya, Pasar Awam Teluk Wanjah, Terminal Feri Kuala Kedah dan Terminal Bas Shahab Perdana.

Operasi dilakukan 11 anggota dari Pasukan Unit Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) JBPM Kedah dan dibantu Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS); Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM); Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan (SwCorp) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bermula pada 8 pagi.

Pengarah JBPM Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata, ini adalah operasi hari kedua yang tertumpu di sekitar kawasan Alor Setar untuk pembersihan bagi mengelak jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, operasi diberi tumpuan di kawasan tumpuan awam yang dikenal pasti di daerah ini.

“Namun kita tidak membuat semburan di tempat terbuka yang terdedah dengan cahaya matahari kerana nyah cemar berlaku secara semula jadi.

“Kita akan fokuskan di tempat yang bertutup dan bersuhu rendah yang menjadi tumpuan awam setiap hari untuk pembersihan dilakukan,” katanya ketika ditemui sejurus selepas operasi dilakukan di Terminal Bas Shahab Perdana, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Tan Kok Yew.

Sayani berkata, pihaknya akan melakukan operasi itu lagi berdasarkan maklumat dan sekiranya diperlukan bantuan oleh pihak KKM untuk sama-sama membantu menangani Covid-19.

Dalam perkembangan lain Sayani berkata, setakat ini belum ada kes membabitkan anggota dan pegawainya yang positif Covid-19.

“Anggota dan pegawai dinasihatkan terus pulang dan berada dalam rumah selepas waktu bekerja atau hari cuti dengan mengikut Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Namun anggota dan pegawai juga akan diperiksa suhu badan dan kesihatan untuk memastikan kesemua mereka bebas dari jangkitan wabak itu kerana kita tak mahu anggota kami adalah antara penyumbang Covid-19,” katanya.

Selain itu juga Sayani berkata, hampir keseluruhan dari 19 Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) dan Ibu Pejabat JBPM Kedah di Suka Menanti, Alor Setar, menjalani sanitasi nyah cemar untuk memastikan kawasan balai bersih sepanjang masa.

Beliau berkata, proses sanitasi di peringkat balai masih berjalan dan hanya beberapa balai belum melakukan proses berkenaan.

“Selain itu, jabatan turut membekalkan cecair pembasmi kuman, sarung tangan, penutup mulut dan hidung serta sabun pencuci di setiap balai untuk memastikan anggota menjaga kebersihan diri ketika pergi dan pulang dari operasi.

“Kita akan pastikan anggota dan pegawai kita dalam keadaan sihat dan selamat sebagai pasukan barisan hadapan dalam usaha untuk membanteras Covid-19 ini,” katanya.

ANGGOTA bomba melakukan Operasi Nyahcemar dan Sanatasi Awam di Stesen Keretapi Anak Bukit. FOTO Amran Hamid.
ANGGOTA bomba melakukan Operasi Nyahcemar dan Sanatasi Awam di Stesen Keretapi Anak Bukit. FOTO Amran Hamid.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2020 @ 2:48 PM