PETUGAS KKM membawa sebahagian 168 pekerja sektor pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk dibawa ke pusat kuarantin. FOTO Hazreen Mohamad
PETUGAS KKM membawa sebahagian 168 pekerja sektor pembinaan di Jalan Ampang, Kuala Lumpur untuk dibawa ke pusat kuarantin. FOTO Hazreen Mohamad
Shamran Sarahan dan Amir Abd Hamid dan Muhaamad Hafis Nawawi


KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 383 kes positif dijangkiti Covid-19 di tiga kluster Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Sepang, Bukit Jalil dan Semenyih.

Daripada jumlah itu, seorang kakitangan imigresen turut didapati positif virus pandemik itu manakala selebihnya warga asing membabitkan Orang Kena Tahan (OKT).

Memperincikan perkara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, di DTI Bukit Jalil sebanyak 1,543 sampel diambil dengan 1,420 daripadanya adalah sampel OKT manakala 123 kakitangan adalah membabitkan sampel kakitangan.

Beliau berkata, jumlah kes positif di Bukit Jalil adalah 281 membabitkan semua bukan warga tempatan dengan jumlah kes negatif 1,082, manakala 180 sampel masih menunggu keputusan.

"Bagi DTI Semenyih sebanyak 1,758 sampel diambil iaitu 1,630 daripadanya adalah sampel OKT, manakala 128 adalah membabitkan sampel kakitangan.

"Jumlah kes positif 66 termasuk membabitkan seorang kakitangan imigresen, selebihnya bukan warga Malaysia. Jumlah kes negatif 1,355, manakala 337 masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Mengenai perkembangan di DTI Sepang pula, Dr Noor Hisham berkata, 1,450 sampel sudah diambil dengan 1,348 daripadanya sampel OKT manakala 102 adalah membabitkan sampel kakitangan.

Menurutnya, bagi DTI Sepang, jumlah kes positif adalah 36 dan semuanya membabitkan bukan warga tempatan.

"Jumlah kes negatif 1,405 manakala sembilan sampel lagi masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2020 @ 7:33 PM