Pernikahan Isfahani Baski dengan Azrai Sufian pada 1 Mei lalu diraikan arwah Rozila Mamat, Iskandar dan Yasmin Iszara. FOTO Ihsan Iskandar Baski
Pernikahan Isfahani Baski dengan Azrai Sufian pada 1 Mei lalu diraikan arwah Rozila Mamat, Iskandar dan Yasmin Iszara. FOTO Ihsan Iskandar Baski
Hassan Omar


TIADA lagi rendang arwah ibu yang enak dan menyelerakan. Ternyata Aidilfitri ini buat tiga beradik cukup meruntun jiwa selepas ibu mereka maut dalam nahas jalan raya pada 12 Mei lalu.

Pemergian ibu tercinta, Rozila Mamat, 49, menuruti pemergian arwah bapa mereka, Baski Ismail, 52, yang turut menemui ajal akibat kemalangan tiga tahun lalu.

Rendang air tangan arwah Rozila sememangnya sentiasa dinanti Isfahani Baski, 25, dan dua adiknya, Iskandar, 19, dan Yasmin Iszara, sembilan tahun, setiap kali Aidilfitri tiba.

Isfahani berkata, setiap kali Aidilfitri tiba, arwah ibunya pasti tidak akan mengecewakan mereka dengan hidangan rendang yang menjadi menu wajib di pagi lebaran.

"Rendang arwah ibu adalah yang terbaik dan paling sedap. Saya pernah belajar daripada arwah ibu dan cuba memasaknya tetapi tidak sama dengan keenakan rendang hasil air tangan ibu.

"Aidilfitri kali ini tiada lagi rendang arwah ibu... yang tinggal hanyalah pusara arwah ibu dan ayah yang amat memilukan kami tiga beradik," katanya di Taman Kemuning, Hutan Percha, Alor Gajah, Melaka.

Dia berkata, selain membuat rendang istimewa, arwah ibunya juga tidak pernah ketinggalan membuat lontong pada hari pertama Aidilfitri.

Bagaimanapun, Isfahani yang baharu mendirikan rumah tangga bersama Azrai Sufian, 25, pada 1 Mei lalu tetap sabar dan tabah menghadapi ujian Allah SWT.

Berikutan kejadian yang meragut nyawa ibunya, Isfahani yang bekerja di sebuah syarikat swasta di bandar Alor Gajah terpaksa bercuti lama kerana menjaga Yasmin Iszara yang patah kedua-dua tangan manakala Iskandar sudah mula bekerja di syarikat penghantaran di Krubong selepas bercuti beberapa hari berikutan kemalangan berkenaan.

Dalam kejadian jam 1.30 petang 12 Mei lalu, arwah Rozila yang memandu kereta Proton Persona meninggal dunia manakala rakannya Suraya Suradi, 53, dan Yasmin Iszara cedera selepas kereta itu berlanggar dengan bas berhenti-henti MARA Liner di Jalan Kampung Kemuning-Tampin, Pulau Sebang, di sini.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu dilaporkan berkata, bas dipandu lelaki berusia 54 tahun itu dalam perjalanan dari Alor Gajah ke Tampin dengan melalui Hutan Percha manakala mangsa dalam perjalanan pulang dari pekan Tampin ke kediamannya di Taman Kemuning.

Ketika melalui selekoh, pemandu bas dipercayai hilang kawalan sebelum melanggar kereta mangsa dan menyebabkan kereta itu berpusing sebelum ia dilanggar kereta Mercedes Benz dipandu lelaki berusia 68 tahun yang mengekori kereta mangsa.

Tiga tahun lalu, arwah Baski meninggal dunia selepas kereta dipandunya berlanggar dengan lori ketika dalam perjalanan dari Taman Kemuning ke Felda Tun Ghafar Hutan Percha untuk membayar upah kepada pekerja yang menoreh di kebun getahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2020 @ 3:45 PM