Foto hiasan
Foto hiasan
Isma Ismail dan Yusmizal Dolah Aling

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) sudah dan sedang melakukan ujian swab terhadap pendatang asing tanpa izin (Pati) serta petugas di Depoh Tahanan Imigresen Semenyih dan Bukit Jalil susulan terdapat tahanan positif Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, setakat ini seramai 1,600 Pati di Depoh Tahanan Semenyih sedang menjalani ujian swab dan dua daripadanya didapati positif Covid-19.

"Sementara itu, seramai 1,200 Pati di Depoh Bukit Jalil termasuk 114 pegawai dan petugas berkaitan sudah membuat ujian swab dan didapati negatif.

"Setakat ini, ujian hanya dibuat di dua depoh ini selepas tahanannya dikesan positif Covid-19," katanya ketika pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, kes di depoh Bukit Jalil membabitkan Pati yang ditangkap sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Lepas itu masuk pula Pati dari PKPD Jalan Masjid India. Di depoh, mereka tinggal di dorm dan tinggal beramai-ramai, itu mungkin menyebabkan seorang daripadanya dijangkiti dan merebak kepada yang lain," katanya.

Menurutnya, KKM dan Jabatan Imigresen sudah mengambil tindakan dengan menghantar 60 Pati positif Covid-19 ke pusat kuarantin Taman Ekspo Pertanian Malaysia (Maeps), Serdang.

"Bila ada kes positif (di dalam depoh), petugas akan memakai pakaian perlindungan diri (PPE) sepenuhnya, tidak seperti sebelum ini hanya memakai sarung tangan dan sebagainya.

"Rakyat tidak perlu bimbang kerana mereka di dalam depoh seolah-olah berada di pusat kuarantin dan akan dihantar ke hospital sekiranya didapati positif.

"Yang kita takut yang berada di luar kerana ia boleh jangkiti orang lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Mei 2020 @ 4:24 PM