FOTO Hiasan
FOTO Hiasan
Amir Mamat


AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka dan Negeri Sembilan memandang serius isu pencerobohan dan pembolosan di perairan kedua-dua negeri berkenaan terutama ketika negara bergelut memerangi penularan wabak Covid-19 ketika ini.

Pengarahnya, Kapten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, sehubungan itu, pihaknya melaksanakan usaha menyusun dan menambah baik strategi operasi seperti menempatkan kapal dan bot di kawasan dikenal pasti sebagai kawasan panas (hotspot) di sepanjang pantai perairan di kedua-dua negeri itu.

Beliau berkata, langkah terbabit adalah satu pembuktian secara nyata dengan kewujudan agensi di kawasan perairan Selat Melaka itu, sekali gus memudahkan tindakan pemintasan dilakukan dengan lebih berkesan.

"Kami melakukan perkongsian maklumat risikan antara pasukan Sahabat iaitu 1 Briged Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Cawangan Khas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson.

"Selain itu, kami melaksanakan operasi bersama Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan menempatkan aset TLDM di pangkalan Maritim Melaka/NegeriSembilan dalam membantu menghalang pembolosan perairan negara," katanya dalam satu kenyataan di Melaka, hari ini.

Beliau berkata, penyelarasan rondaan udara secara berskala dilaksanakan oleh APMM dan TUDM, seterusnya menyalurkan maklumat rondaan itu kepada Pusat Operasi dan aset laut yang sedang beroperasi untuk tindakan pantas.

Menurutnya, pihaknya turut menjalankan kerjasama perkongsian maklumat bersama Tentera Darat di beberapa kem di kedua-dua negeri yang sedang menjalankan Op Merpati di sekitar pantai Melaka dan Negeri Sembilan bagi membuat pemantauan terhadap aktiviti mencurigakan di darat.

Katanya, pihaknya mengoptimumkan maklumat diterima daripada Sistem Pengawasan Maritim (Laut SWASLA) dalam mengesan pergerakan vesel mencurigakan dari negara jiran, bot tempatan dan aktiviti jenayah di laut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Mei 2020 @ 3:31 PM