TANAMAN penduduk Anjung Teduh Felda Sahabat dilaporkan rosak dimakan gajah. FOTO ihsan Pembaca
TANAMAN penduduk Anjung Teduh Felda Sahabat dilaporkan rosak dimakan gajah. FOTO ihsan Pembaca
Hazsyah Abdul Rahman


BEBERAPA penduduk Anjung Teduh, Felda Sahabat dekat sini, bimbangkan keselamatan diri serta keluarga memandangkan sebahagian daripada kira-kira 30 gajah yang menceroboh kawasan berkenaan gemar menggesel badan pada tiang rumah.

Ia menyebabkan rumah penduduk berkenaan bergoyang dan walaupun tidak kerap, namun ia membimbangkan penghuninya.

Penduduk, Hamid Akbar, 51, berkata, pada awalnya, kumpulan gajah terbabit hanya berada di kawasan ladang.

"Kumpulan gajah ini dikesan di kawasan ladang kira-kira empat bulan lalu.

"Ia kemudiannya masuk ke kawasan ladang kelapa sawit berhampiran penempatan kami," katanya dihubungi hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sejak beberapa hari lalu, gajah terbabit mula masuk ke kawasan penempatan penduduk.

SEKUMPULAN gajah dilaporkan berada di Anjung Teduh, Felda Sahabat.
SEKUMPULAN gajah dilaporkan berada di Anjung Teduh, Felda Sahabat.

"Kumpulan gajah itu turut memakan tanaman di belakang rumah saya seperti pisang dan sayuran.

"Pada masa sama, penduduk yang menghuni rumah bertiang turut dilanda kebimbangan kerana gajah itu kerap datang dan menggesel badan ke tiang rumah.

"Ia menyebabkan rumah mereka bergegar," katanya.

Menurutnya, ia julung kali kumpulan gajah masuk ke penempatan penduduk dan mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Kami tiada pengalaman berdepan dengan gajah dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan.

"Pada waktu malam, kami selalu berjaga dan tidak lena tidur kerana bimbang berlaku perkara tidak diingini.

"Kami merayu kepada pihak berkaitan supaya dapat membantu kami mengatasi masalah ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2020 @ 4:31 PM