Datuk Phahrolrazi.
Datuk Phahrolrazi.
M Hifzuddin Ikhsan


AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) Kedah yang mahu menukar sokongan perlu membuat kenyataan rasmi bagi mengelak kemelut membabitkan kerajaan negeri berterusan.

Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi berkata, setakat ini tiada pihak tampil membuat kenyataan menyebabkan PH Kedah menganggap tiada apa yang berlaku.

Katanya, pihaknya hanya mengetahui berlaku pertemuan antara ADUN PAS dan Umno semalam, namun belum ada pengumuman berkaitan dibuat pihak terbabit.

"(Kerajaan negeri) sekarang ini PH campur Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), saya diminta mewakili PH berbincang bersama Datuk Seri Mukhriz (Mahathir) selaku Pengerusi Bersatu Kedah.

"Kami bincang keadaan semasa, ada juga kita sentuh (cubaan menukar kerajaan negeri), tetapi kita lihat kerajaan masih berfungsi.

"Tidak ada apa-apa kenyataan dari pihak sana (pembangkang) bahawa mereka sudah cukup majoriti setakat ini," katanya ketika ditemui di Alor Setar, hari ini.

Terdahulu, beliau mengadakan pertemuan tertutup lebih satu jam bersama Mukhriz di kediaman rasmi Menteri Besar Kedah di Seri Mentaloon, Alor Setar.

Mengulas lanjut, Phahrolrazi berkata, pihaknya juga tidak mengetahui kemungkinan terdapat ADUN dari PH dan Bersatu yang mahu melompat parti sehingga menyebabkan kerajaan negeri bertukar.

"Itu yang kita tak tahu, kalau mereka nak lompat, mereka kena buat satu kenyataan rasmi. Sekarang belum ada kenyataan rasmi dari pihak berkenaan.

"(Disebabkan itu) kami anggap sebagai spekulasi, tak ada lagi (kenyataan) yang secara rasmi," katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan PAS Kedah akan menghadap Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah dalam tempoh terdekat, beliau menjelaskan perkara itu di luar pengetahuannya.

Usaha mendapatkan reaksi Mukhriz yang baharu tiba di Kedah, tengah hari tadi juga gagal, namun difahamkan beliau akan mengadakan pertemuan bersama Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dalam tempoh terdekat.

Semalam, seramai 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dan Umno negeri mengadakan pertemuan tertutup di Kompleks PAS Kedah dipercayai bagi membincangkan peralihan kerajaan negeri dan calon Menteri Besar baharu.

Pertemuan itu turut dihadiri Naib Presiden PAS, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mei 2020 @ 4:59 PM